Delegasi KEADILAN ke Hong Kong hari ini serah bukti rasuah Musa Aman

(Oleh Masdar Wahid)

PETALING JAYA 11 Dis: Delegasi KEADILAN ke Hong Kong hari ini bagi menyerah bukti agar Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah Hong Kong (ICAC) membuka kembali siasatan terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan taikun balak Michael Chia dalam kes rasuah RM40 juta.

“KEADILAN akan mengadakan sidang media mengenainya di ibu pejabat parti pagi esok (ini),” kata Pengarah Strateginya, Rafizi Ramli dalam kenyataan malam tadi.

Rombongan KEADILAN di depan bangunan ICAC 21 November lalu.

Pada 21 November lalu, delegasi yang dianggotai Rafizi, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teja, Chang Lih Kang; Ahli Parlimen (MP) Selayang, William Leong dan MP Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian ke negara itu untuk menggesa ICAC menyiasat semula kes tersebut.

Ketua Pendakwa Raya Hong Kong, Kevin Zervos bersedia membuka semula kes itu.

Zervos berkata, sebelum ini kes tersebut ditutup kerana Kerajaan Malaysia memberi alasan wang itu ‘sumbangan politik’.

Beliau turut mengesahkan dana dalam akaun bank atas nama seorang warganegara Malaysia disyaki diwujudkan bagi pihak Kerajaan Malaysia.

Usaha KEADILAN itu juga mendapat sokongan dan kerjasama MP Hong Kong – James To, Leung Kwok Hung dan Raymond Wong.

Kes tersebut turut mendapat liputan akhbar dan televisyen utama Hong Kong.

Bagaimanapun, mereka diminta untuk membekalkan lebih banyak bukti kepada ICAC supaya kes itu dapat dibuka semula ekoran tidak mendapat kerjasama kerajaan Malaysia.

Lih Kang berkata, kunjungan kali kedua itu sebagai memenuhi permintaan ICAC supaya bukti yang diperlukan pihaknya untuk membuka semula siasatan kes tersebut dilengkapi.

“Kita akan bertemu ICAC 13 Disember ini (lusa) dan serah dokumen yang mereka tiada, termasuk semua dokumen transaksi. Ia bagi membantu ICAC dapatkan bukti kes,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Lih Kang, bukti berkenaan juga akan diserah kepada MP Hong Kong yang ditemui sebelum ini untuk dibawa kepada Mesyuarat Panel Keselamatan Hong Kong.

“MP Hong Kong berjanji untuk bawa isu ini ke dalam agenda mereka. Panel Keselamatan adalah pihak yang bertanggungjawab memantau ICAC,” jelasnya.

Musa sebelum ini didakwa menerima sumbangan untuk Umno Sabah melalui Chia, ahli perniagaan yang ditahan kerana menyeludup wang berkenaan di Lapangan Terbang Hong Kong pada Ogos 2008.

KEADILAN pada 25 Oktober lalu, mendesak Bank Negara Malaysia (BNM) menyiasat penyeludupan RM40 juta kepada Umno Sabah ekoran pendedahan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Bumburing ia disalur ke akaun peribadi seorang pemimpin Umno negeri.

Kes ini muncul selepas Chia ditahan ICAC di Lapangan Terbang Hong Kong bersama S$16 juta (RM40juta) milik
Musa.

Namun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz memberi alasan ia sumbangan politik untuk Umno Sabah.

Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman pula pada 3 November lalu memberitahu Rafizi, wang itu kini berada dalam akaun Umno negeri, sementara Datuk Seri Najib Razak mempertahan skandal itu.

“Sejak 2009 hingga kini, Musa mahupun Umno tidak pernah menafikan skandal itu,” kata Rafizi.

Pada 5 November lalu, Rafizi membuat laporan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya agar Nazri disiasat kerana keluarganya mendapat manfaat dan cuba mempengaruhi keputusan membersih nama Chia.

Mengikut Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009, mana-mana orang yang sendiri, atau melalui, atau bersama mana-mana orang lain secara rasuah, atau menerima, atau bersetuju menerima bagi dirinya, atau mana-mana orang lain, telah melakukan kesalahan rasuah.

Pada 22 November, Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah pada ceramah Merdeka Rakyat di Damansara berkata, UBS Bank di Switzerland membuka siasatan kes penggubahan wang haram USD90 melibatkan Musa Aman.

(Berita menyusul)

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=40983

Posted by on Dec 11 2012. Filed under NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google