Demo lebih besar jika Syabas masih degil – AMK

(Oleh Sidiqin Omar)

SHAH ALAM 23 Julai: Lebih 100 peserta berhimpun di hadapan Wisma Rozali dekat sini bagi menyatakan sokongan kepada langkah kerajaan Selangor untuk mengambil alih pegangan konsesi Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Antara yang hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Muda, Shuhaimi Shafiei; Timbalan Pengerusi KEADILAN (AMK) Selangor yang juga Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin; Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan Ketua Angkatan Muda (AMK) KEADILAN Selangor, Azmizam Zaman Huri.

Turut serta, Ketua Biro Kebudayaan dan Kesenian Majlis Pimpinan Wanita Pusat, Tengku Intan Tengku Abd Hamid atau dikenali Dayangku Intan.

Himpunan bermula jam 12.00 tengah hari dan mereka berarak kira-kira 100 meter dari pintu masuk pasaraya Giant menuju pintu hadapan Wisma Rozali.

Peserta turut melaungkan slogan ‘Kembalikan air kepada rakyat’, ‘Hentikan catuan air’, ‘Pecat Tan Sri Rozali dan ‘Syabas jadi alat Umno.

Selain itu, kain pemidang tertera kenyataan ‘Kerajaan Selangor segera ambil alih Syabas’, ‘Syabas peras ugut rakyat Selangor’, ‘RM8.65 bilion terlalu mahal’ dan ‘Rakyat Selangor hilang air percuma’ turut dinaikkan.

Selepas berunding selama 15 minit, memorandum mengandungi tujuh tuntutan yang didraf AMK Selangor berjaya diserah kepada Ismail Hashim, Pengarah Eksekutif & Pentadbiran Sumber Manusia Syabas.

Antara tuntuan tersebut adalah membantah catuan bekalan air di Selangor oleh Syabas dan menyerahkan operasi air terawat kepada kerajaan negeri.

Memorandum turut membantah pembinaan Loji Langat 2 yang menelan belanja RM8.65 bilion.

Azmizam berkata, jika pentadbiran Syabas tidak mendengar suara mereka dan Rozali masih tidak meletakkan jawatan, satu himpunan lebih besar akan diadakan sebagai sokongan kepada kerajaan negeri untuk mengambil alih pemegang konsesi air tersebut.

Awal minggu lalu, Syabas mengumumkan Selangor kini berdepan krisis bekalan air dan menyatakan hasrat untuk mencatu bekalan air di negeri itu, jika kerajaan negeri menolak pembinaan Loji Langat 2 .

Bagaimanapun, keputusan itu mendapat tentangan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim yang menegaskan bekalan air di Selangor masih mencukupi.

Khalid yang ragu dengan keputusan Syabas mengumumkan penstrukturan semula bagi mengelakkan penduduk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya menanggung kenaikan tarif air sebanyak 50 peratus.

 

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=33197

Posted by on Jul 23 2012. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google