‘Demo depan kedutaan jika DoJ campuri urusan negara’

KUALA LUMPUR 28 JUN: Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil mencabar Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk berdemonstrasi di depan kedutaan Amerika Syarikat jika benar saman terbaru Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) bersifat politik.

Fahmi Fadzil mengemukakan cabaran tersebut selepas Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali merumuskan saman DoJ sebagai bersifat politik – satu tindakan yang diihat cuba melindungi bosnya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Kenyataan Peguam Negara TS Apandi Ali hari ini yang merumuskan bahawa tindakan saman sivil DoJ bersifat politik adalah satu kenyataan yang cukup serius.

“Saya yakin Peguam Negara mempunyai maklumat yang lengkap mengenai isu 1MDB ini – termasuk laporan Ketua Audit Negara yang masih dirahsiakan, serta pasukan siasatan khas polis terhadap isu 1MDB ini – untuk membuat rumusan sedemikian,” katanya.

“Saya juga mengingatkan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, bahawa jika benar wujud usaha kuasa asing seperti AS yang ingin mencampuri urusan dalaman negara, maka Pemuda UMNO perlu segera mengadakan demonstrasi di hadapan kedutaan AS sebagai tanda protes,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Fahmi turut mendesak Najib agar mengambil langkah sewajarnya seperti memanggil duta AS ke Malaysia untuk mengadap jika tindakan DoJ itu satu bentuk campur tangan dalam kedaulatan negara.

“Sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, Malaysia juga tidak boleh bertolak ansur terhadap tindakan mana-mana kuasa asing terutama yang bersifat politik dengan niat mencampuri urusan dalaman negara.

“Oleh itu, dalam mesyuarat kabinet esok, Perdana Menteri serta jemaah menteri perlu membincangkan kenyataan Peguam Negara ini dan segera mengumumkan tindakan diplomatik yang tegas terhadap Amerika Syarikat demi mempertahan martabat dan kedaulatan negara, termasuk dengan memanggil duta besar AS ke Malaysia untuk memberi penjelasan, serta mengarahkan duta besar Malaysia ke AS untuk pulang segera ke Malaysia,” katanya.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=70166

Posted by on Jun 28 2017. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE