Dituduh rasuah RM2.6b, Najib berdepan penjara 20 tahun

Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berdepan hukuman penjara selama 20 tahun selepas dihadapkan dengan empat tuduhan rasuah berkaitan wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebanyak RM2.6 bilion dan 21 tuduhan menggubah wang haram hari ini.

Empat pertuduhan tersebut dibuat di bawah Seksyen 23 (1) dan 24 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Najib, 65 mengaku tidak bersalah atas 21 pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) (a) – Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA).

Semua tuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Pendakwaan diketuai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram sementara peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengetuai barisan pembelaan.

Mengikut pertuduhan pertama Najib sebagai Perdana Menteri Malaysia, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB didakwa telah menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM60,629,839.43 dengan mengambil empat tindakan pada 24 Feb 2011 dan 14 Jun 2011, di AmIslamic Bank Berhad, Cawangan Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur.

Pada 1 April 2009, di Bilik Mesyuarat Jemaah Menteri, Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya melalui memorandum daripada Menteri Kewangan, Najib telah mendapatkan persetujuan Jemaah Menteri supaya Kerajaan Malaysia memberi jaminan kepada Terengganu Investment Authority Berhad (TIA). 

Jaminan itu bagi membolehkan TIA mendapatkan pinjaman sehingga RM5 bilion daripada pasaran domestik dan luar negara melalui Islamic Medium Term Notes Programme.

Pada 29 Julai 2009, di tempat sama, Najib pada 3 April 2009 telah memutuskan supaya Kerajaan Persekutuan mengambil alih TIA dan selanjutnya telah menyebabkan nama TIA ditukar kepada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang mengenainya beliau mempunyai kepentingan secara langsung.

Pada 26 Sept 2009, Najib telah mengarahkan Lembaga Pengarah 1MDB yang mengadakan satu Mesyuarat Khas di The Royale Bintang, Damansara, Petaling Jaya, untuk meluluskan satu Resolusi membenarkan 1MDB untuk menyertai satu usahasama bersama PetroSaudi International limited dengan membuat pelaburan sebanyak RM1 bilion saham biasa dalam syarikat itu pada harga US$1.00 setiap saham.

Pada 16 Mei 2011, di Pejabat 1MDB, Tingkat 8, Menara IMC, No 8, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, Najib telah menyebabkan Lembaga Pengarah 1MDB untuk meluluskan satu Circular Resolution yang membenarkan satu pelaburan tambahan sebanyak RM1 bilion (atau dengan nilai yang bersamaan dalam US$) di bawah Murabaha financing Agreement bertarikh 31 Mac 2010 dibuat di dalam 1MDB Petro Saudi Limited.

Mengikut pertuduhan kedua, Najib didakwa antara 31 Okt 2012 dan 20 Nov 2012, di tempat sama, atas jawatan sama telah menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya berjumlah RM90,899,927.28 dengan mengambil dua tindakan:

Pada 9 Feb 2012, di pejabat 1MDB, sebagai menteri kewangan telah meluluskan 1MDB yang mengenainya beliau secara langsung mempunyai kepentingan melalui 1MDB Energy Sdn Bhd yang merupakan anak syarikat milik penuh 1MDB untuk menawarkan bidaan bagi tujuan cadangan pengambil alihan Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd pada harga bidaan sebanyak RM10.6 bilion.

Pada 10 Ogos 2012, di tempat sama, sebagai selaku Menteri Kewangan telah meluluskan pengambilalihan ekuiti Syarikat Mastika Lagenda Sdn Bhd dengan harga pembelian agregat sehingga RM2.75 bilion dan selanjutnya meluluskan 1MDB, yang mengenainya beliau secara langsung mempunyai kepentingan untuk melaksanakan penerbitan 10-Year Structured Loan Note bernilai US$1.75 bilion.

Bagi pertuduhan ketiga pula, bekas perdana menteri itu didakwa antara 22 Mac 2013 dan 10 April 2013, telah menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan untuk dirinya sendiri berjumlah RM2,081,476,926 melalui dua tindakan:

Pada 25 Feb 203, di Pejabat 1MDB, sebagai Menteri Kewangan telah meluluskan 1MDB, yang mengenainya beliau secara langsung mempunyai kepentingan untuk memasuki satu perjanjian usahasama dengan Aabar Investment PJS.

Pada 14 Mac 2013, telah meluluskan Letter of Support kepada 1MDB global Investment Limited bagi tujuan sokongan kepada terbitan bon berjumlah AS$3 bilion bagi pihak 1MDB, yang mengenainya beliau secara langsung mempunyai kepentingan.

Bagi pertuduhan keempat, Najib didakwa sebagai perdana menteri Malaysia, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat (1MDB) telah menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM49,930,985.70 dengan cara mengambil tindakan seperti berikut :

Pada 20 Ogos di pejabat 1MDB, dalam kapasitinya sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB, telah mengarahkan Lembaga Pengarah 1MDB untuk meluluskan 1MDB Energy Holdings Limited untuk membuat pinjaman melalui Term Loan Facility sehingga US $975,000,000 daripada Deutsche Bank AG bagi tujuan terbitan 1MDB Eenergy Group IPO, yang mengenainya beliau secara langsung mempunyai kepentingan.

Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama antara 23 Jun 2014 dan 19 Dis 2014.

Bagi kempat-empat pertuduhan itu, Najib didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA), Najib turut mengaku tidak bersalah terhadap kesemua 21 pertuduhan dan mohon dibicarakan. Pertuduhan tersebut adalah:

Bahawa beliau menerima RM155 juta daripada akaun Perbadanan Kewangan Tanore di Falcon Bank, Singapura pada 22 Mac 2013;

Bahawa beliau menerima RM155 juta lagi daripada Tanore Finance Corporation pada 22 Mac 2013;

Bahawa beliau menerima pemindahan ketiga sebanyak RM155 juta dari Tanore Finance Corporation pada 22 Mac 2013;

Bahawa beliau menerima RM188 juta daripada Tanore Finance Corporation pada 26 Mac 2013;

Bahawa beliau menerima RM231 juta dari Tanore Finance Corporation pada 28 Mac 2013;

Bahawa beliau menerima RM138 juta dari Tanore Finance Corporation pada 28 Mac 2013;

Bahawa beliau menerima RM152 juta dari Tanore Finance Corporation pada 8 April 2013;

Bahawa beliau menerima RM304 juta dari Tanore Finance Corporation pada 9 April 2013;

Bahawa beliau menerima RM602 juta dari Tanore Finance Corporation pada 10 April 2013

Bahawa beliau terlibat dalam pengubahan wang haram dengan memindahkan RM652 juta dari akaun Ambanknya kepada Tanore Finance Corporationon 2 Ogos 2013

Bahawa beliau terlibat dalam pengubahan wang haram dengan membayar RM20 juta kepada Umno pada 2 Ogos 2013;

Bahawa beliau terlibat dalam pengubahan wang haram dengan membayar RM100,000 kepada bahagian Umno Batu Kawan pada 7 Ogos 2013;

Bahawa beliau terlibat dalam pengubahan wang haram dengan membayar RM246,000 kepada Lim Soon Peng;

Bahawa beliau terlibat dalam pengubahan wang haram dengan membayar RM2 juta kepada ORB Solutions Sdn Bhd pada 12 Ogos 2013;

Bahawa beliau terlibat dalam penggubahan wang haram dengan membayar RM303,000 kepada Semarak Consortium Sdn Bhd pada 14 Ogos 2013;

Bahawa beliau terlibat dalam pengubahan wang haram dengan memindahkan RM326.8 juta kepada Tanore Finance Corporation pada 15 Ogos 2013;

Bahawa beliau terlibat dalam pengubahan wang haram dengan memindahkan RM327.3 juta kepada Tanore Finance Corporation pada 15 Ogos 2013;

Bahawa beliau terlibat dalam pengubahan wang haram dengan memindahkan RM181.8 juta kepada Tanore Finance Corporation pada 22 Ogos 2013

Bahawa beluau terlibat dalam pengubahan wang haram dengan memindahkan RM545.8 juta kepada Tanore Finance Corporation pada 23 Ogos 2013

Bahawa beliau terlibat dalam pengubahan wang haram dengan memindahkan RM150 juta kepada Tanore Finance Corporation pada 27 Ogos 2013

Bahawa beliau terlibat dalam pengubahan wang haram dengan memindahkan RM12.4 juta ke akaun Ambank lain yang dimilikinya pada 30 Ogos 2013.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=72334

Posted by on Sep 20 2018. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE