Dr M: RCI forex cuma untuk burukkan saya dan Anwar

Tun Dr Mahathir Mohamad Mahathir hari ini berkata Suruhanjaya Siasatan Di Raja (RCI) mengenai urusniaga tukaran matawang asing Bank Negara Malaysia dilaksanakan semata-mata untuk memberi imej buruk kepada dirinya dan Ketua Umum Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Namun, beliau yakin beliau berjaya menjawab soalan-soalan yang ditanya panel siasatan dengan baik.

Malah katanya, Anwar sendiri menjawab soalan-soalan berdasarkan maklumat yang diterimanya sebagai menteri kewangan sewaktu tempoh urusniaga itu berlangsung.

“Bahawa wang juga dicuri ketika zaman saya, (dengan jumlah RM30 bilion). Itulah tujuan mereka.

“Tapi mereka belum mencapai tujuan untuk menunjukkan saya sama seperti para kleptokrat yang mentadbir negara hari ini,” kata bekas perdana menteri itu, memetik laporan Malaysiakini.

Kata Mahathir lagi, RCI ini bukan untuk menyiasat kerugian yang ditanggung ketika itu memandangkan Bank Negara berjaya pulih daripada skandal tersebut.

“Ia bukan tentang kerugian wang kerana selepas itu, Bank Negara telah pulih sepenuhnya. Bukan sahaja pulih, hari ini Bank Negara miliki aset yang besar – mencecah ratusan bilion dolar.

“Dan ingat, modal yang diperikan kepada Bank Negara ketika permulaannya hanya RM5 juta, kini ia ada lebih RM100 bilion. Jadi adakah anda akan katakan Bank Negara adalah satu kegagalan, dan gagal menjaga wang kita?” soalnya.

Katanya lagi, panel RCI juga bertanya soalan yang tidak relevan kepadanya, sepanjang sesi keterangan pagi ini.

Bekas perdana menteri itu yang merupakan saksi ke-24 RCI juga mendakwa, soalan yang ditanya tidak bertumpu kepada mengenal pasti kerugian yang ditanggung Bank Negara akibat daripada skandal itu.

Beliau berkata demikian ketika diminta pemberita untuk mengulas tentang soalan yang ditanya RCI, sebaik sahaja selesai meberi keterangan hari ini.

Anwar sebelum ini mendesak agar RCI forex ini dihentikan jika tiada siasatan sama dilakukan terhadap skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Felda yang kerugian berjuta-juta ringgit.

Gesaan Anwar itu yang muncul sebagai sakso keempat siasatan, selari dengan pendapat umum yang hairan dengan tindakan kerajaan menubuhkan RCI tersebut ketika orang ramai kecoh dengan kontroversi wang berbilion RM yang masuk ke dalam akaun bank peribadi Datuk Seri Najib Razak daripada 1MDB.

RCI forex yang sedang berlangsung di Mahkamah Rayuan Putrajaya mula bersidang pada 21 Ogos lalu dianggotai 6 ahli panel yang diketuai oleh bekas ketua setiausaha negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Mereka yang lain adalah Hakim Mahkamah Tinggi, Kamaludin Md Said; Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Berhad, Tajuddin Atan; pengerusi bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan, Saw Choo Boon; akauntan K Pushpanathan dan Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan, Dr Yusof Ismail.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=70520

Posted by on Sep 18 2017. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE