Ekonomi statik gagalkan sasaran negara maju 2020

Struktur ekonomi negara yang tidak banyak berubah adalah satu faktor dalaman yang menjadi punca Malaysia belum mampu mencapai taraf negara maju menjelang 2020, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali.

Katanya, Malaysia masih bergantung kepada faktor tradisional seperti modal dan buruh dan bukan peningkatan produktiviti untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan.

“Manakala, sebahagian besar industri pula masih berada dalam kategori nilai ditambah yang rendah disebabkan kadar penggunaan teknologi tinggi yang masih rendah, iaitu sebanyak 37 peratus dalam sektor pembuatan dan 20 peratus dalam sektor perkhidmatan,” jawapan beliau kepada pertanyaan lisan di Dewan Rakyat dipetik.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Anggota Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul pada 7 Oktober dalam Sidang Dewan Rakyat Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua, Parlimen Ke-14.

Johari dalam soalannya ingin mengetahui faktor-faktor Malaysia gagal menjadi negara maju pada 2020.

Menurut Azmin, struktur pasaran buruh yang bergantung kepada pekerja separuh mahir dan berkemahiran rendah menyebabkan kurangnya pekerjaan berpendapatan tinggi.

“Malahan, kebergantungan kepada pekerja asing yang berterusan turut menjejaskan kadar gaji dan upah dalam pasaran buruh,” katanya lagi.

Azmin turut menyenaraikan faktor luaran seperti kelembapan ekonomi dunia dan perdagangan global, dan perang dagangan antara Amerika Syarikat dan China sebagai punca kepada kegagalan tersebut.

Perbincangan tentang ekonomi Malaysia rancak mutakhir ini kerana orang ramai berminat untuk mengetahui jika negara mampu mencapai Wawasan 2020 yang digagaskan Dr Mahathir Mohamad sewaktu beliau menjadi perdana menteri keempat.

Dr Mahathir dalam Wawasan 2020 membayangkan Malaysia akan menjadi negara perindustrian yang maju menjelang 2020.

Namun, rejim Umno-BN yang menggagalkan Wawasan 2020 mendorong kerajaan Pakatan Harapan membentangkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 pada 5 Oktober 2019 untuk meningkakan pendapatan semua kumpulan etnik terutamanya golongan berpendapatan rendah B40.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=74114

Posted by on Oct 8 2019. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE