Ekonomi tumbuh 4.5 peratus suku pertama 2019

Ekonomi Malaysia bagi suku pertama 2019 berkembang sebanyak 4.5 peratus meskipun menghadapi faktor-faktor persekitaran luaran yang mencabar.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali berkata antara cabaran yang dihadapi adalah ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, ketidaktentuan dasar kewangan negara maju serta pertumbuhan ekonomi Asia yang perlahan.

Azmin berkata, memasuki suku kedua, kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) akan memberi tumpuan untuk mempertingkat aktiviti ekonomi domestik dengan menggalakkan sektor swasta untuk terus memacu pelaburan.

Hal itu berikutan, semakan semula unjuran pertumbuhan ekonomi dan perdagangan dunia yang lebih perlahan bagi tahun ini dijangka akan mempengaruhi pertumbuhan ekonomi Malaysia.

“Unjuran yang lebih rendah ini mengambil kira tindakan timbal balas dasar perdagangan antara AS dan China serta risiko kenaikan harga minyak dunia berikutan jangkaan gangguan bekalan minyak mentah,” katanya.

Justeru katanya, kerajaan mengambil langkah untuk mempercepatkan aktiviti pelaburan melalui pelaksanaan semula projek-projek yang telah ditangguhkan sebelum ini, seperti Bandar Malaysia dan Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL).

“Penyertaan Malaysia yang proaktif dalam “Belt and Road Initiative” (BRI) juga dijangka akan memberi kesan limpahan yang besar kepada ekonomi melalui peningkatan FDI dan kesalinghubungan dengan ekonomi dunia,” jelasnya.

Sebelum ini, Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi Laporan Tahunan 2018 mengunjurkan negara mampu mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi negara kukuh bagi tempoh sama, iaitu pada kadar 4.3-4.8 peratus.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=73479

Posted by on May 16 2019. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE