Enam warga asing ditahan curi hasil hutan

Enam orang warganegara Kemboja ditahan di Hutan Simpan Tembat, Hulu Terengganu pada 19 Oktober lalu kerana dipercayai melakukan pencerobohan serta jenayah membabitkan hidupan liar.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar dalam kenyataan berkata pihak berkuasa menemui satu cengkerang kura-kura, satu rantai dipercayai taring babi hutan, satu rantai lain disyaki tanduk dua hidupan liar, satu gading gajah dan empat buku kuang raya.

“Turut dirampas, beberapa peralatan mengambil gaharu seperti enam kapak, enam parang bersarung, dua penggali, tujuh set alat pencuci gaharu dan sebungkus kayu gaharu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) itu membabitkan sembilan anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), lapan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara dan 12 kakitangan NGO, Rimba.

Operasi itu dilancarkan pada 3 September lalu untuk membanteras aktiviti jenayah hidupan liar termasuk pemburuan haram dan penyeludupan.

Kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 60 dan 68, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 iaitu menyimpan hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya.

Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh denda antara RM50,000 hingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi kes pemilikan kayu gaharu, kes ini akan disiasat mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan1993),” katanya.

Sebelum ini, kata Xavier, ada beberapa OBK yang dijalankan turut mencapai kejayaan seperti penahanan dua warga Thailand di Taman Negeri Royal Belum, Perak pada 10 September 2019, seorang rakyat tempatan di Felcra Sungai Temau, Kuala Lipis, Pahang (10 Oktober), warga Thailand di Gerik, Perak (11 Oktober), 29 pesalah terdiri daripada seorang warga tempatan, enam Bangladesh, dua Indonesia, enam Myanmar dan 14 China di Felcra Sungai Temau, Kuala Lipis, Pahang (11 Oktober) dan seorang rakyat Kemboja di Taman Negara Endau – Rompin, Johor (16 Oktober).

“Diharapkan orang ramai akan terus memberikan sokongan dan bantuan dengan menjadi mata dan telinga Perhilitan serta polis bagi membantu menjayakan OBK melalui penyaluran maklumat yang berkenaan agar khazanah negara tidak diancam kepupusan.

“Semua maklumat boleh disalurkan melalui Hotline Perhilitan: 1-800-88-5151 atau e-aduan melalui laman web www.wildlife.gov.my,” katanya.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=74171

Posted by on Oct 22 2019. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE