Fahmi cabar Najib selesaikan dahulu 5 cabaran lama

KUALA LUMPUR 27 JUN: Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar menyelesaikan lima cabaran ‘lama’ sebelum bercakap panjang lebar tentang lima cabaran baharu negara seperti digariskan dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Teratas dalam lima cabaran ‘lama’ yang belum diselesaikan Najib adalah dasar luar negara Malaysia yang mutakhir ini kurang jelas.

“Walaupun media melaporkan penglibatan Malaysia di dalam latihan ketenteraan “North Thunder” di Arab Saudi pada Mac 2016 hanyalah untuk menimba pengalaman pertempuran padang pasir, namun ada pihak yang bertanya apakah bijak kita turut terlibat dalam persengketaan bersenjata di Timur Tengah.

“Kita bukan sahaja tidak mahu sempadan dan politik dalam negara dikacau mana-mana kuasa asing, tetapi kita juga tidak patut menghantar askar-askar Malaysia untuk terlibat di dalam konflik geopolitik yang tiada kaitan dengan kita, lebih-lebih lagi jika konflik itu tiada aspek bantuan kemanusiaan,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, Putrajaya perlu melaraskan semula dasar luar negara dengan mengukuhkan doktrin Malaysia sebagai sebuah negara berkecuali yang beroperasi di dalam Kawasan Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN).

“Kita tidak perlu berpihak di dalam perbalahan geopolitik, terutama di antara kuasa besar AS dan China atau di kalangan negara-negara Arab di Timur Tengah.

“Malah berdasarkan pengalaman Malaysia sebagai negara berkecuali, kita perlu mempraktikkan strategi Malaysia sebagai “perantara” atau “perunding” kepada perbalahan geopolitik demi keamanan sejagat,” katanya lagi.

Fahmi turut menggesa Putrajaya agar lebih serius dalam memerangi rasuah terutamanya skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang mencorotkan kedudukan Malaysia dalam indeks rasuah antarabangsa.

“Selagi isu 1MDB tidak selesai dengan menghadapkan mereka yang bersalah ke mahkamah sama seperti yang berlaku di Singapura, Switzerland, Luxembourg dan AS, dan selagi aliran wang haram tidak dibendung, selagi itulah persepsi bahawa perasuah, koruptor dan kleptokrat bermaharajalela akan berterusan,” katanya.

Selain itu katanya, Najib perlu berusaha untuk memperkukuhkan kedudukan sosio-ekonomi rakyat terutamanya harga barangan yang semakin naik, gaji, dan isu perumahan.

Cabaran keempat yang digariskan Fahmi adalah reformasi institusi demokrasi dan cabaran kelima adalah mengangkat Klketuanan rakyat dan program reformasi nasional.

“Walaupun pelbagai risiko dan cabaran baharu mungkin melanda kita, demi nusa dan bangsa, kita perlu berwaspada agar cabaran-cabaran yang masih belum diatasi tidak diketepikan begitu sahaja,” katanya.

Najib semalam menggariskan lima risiko dan cabaran baharu yang perlu dihadapi negara iaitu dalam isu geopolitik; keselamatan dan keamanan; ekonomi; mendahulukan kepentingan rakyat; serta masa depan dan Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=70156

Posted by on Jun 27 2017. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE