‘Fook Bank’ tangani isu mahasiswa lapar

Beberapa minggu yang lalu, saya dilantik untuk menjadi Koordinator Food Bank Siswa oleh Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). Program Food Bank Siswa mensasarkan bantuan makanan kepada pelajar-pelajar di universiti.

Program Food Bank pada asalnya dilancarkan oleh KPDNHEP bagi membantu golongan masyarakat yang memerlukan. Program tersebut merupakan inisiatif awal kerajaan dalam usaha meringankan beban kenaikan kos sara hidup dan pada yang sama mengurangkan pembaziran makanan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh SWCorp, rakyat Malaysia menjana 15,000 tan sampah makanan setiap hari dan daripada jumlah itu, 3,000 tan masih boleh dimakan dan sekiranya ia diagihkan kepada pihak yang memerlukan, ia boleh memberi manfaat kepada hampir dua juta rakyat Malaysia.

Inisiatif Food Bank mendapat sambutan yang menggalakkan terutamanya daripada kumpulan pembekal atau industri yang kini mempunyai pilihan untuk memanfaatkan lebihan makanan mereka. Kerajaan juga tidak perlu membelanjakan sebarang kos untuk mendapatkan lebihan makanan tersebut.

Melalui inisiatif ini, KPDNHEP memainkan peranan sebagai orang tengah atau penghubung antara pembekal makanan daripada industri dan penerima manfaat program Food Bank.

Beberapa bulan yang lalu, isu mahasiswa lapar mendapat liputan luas di beberapa akhbar utama di Malaysia. Walaupun ia bukanlah satu isu yang baru, namun timbulnya semula perkara ini menunjukkan bahawa tidak ada pihak khususnya pihak kerajaan yang cuba untuk mengambil langkah proaktif bagi menangani masalah ini.

KPDNHEP merupakan antara kementerian terawal yang memberikan respon dan menawarkan solusi kepada permasalahan ini. KPDNHEP telah mengambil keputusan untuk meluaskan program Food Bank ke universiti awam (UA) bagi membantu golongan pelajar yang memerlukan.

Oleh yang demikian, satu inisiatif baru yang diberi nama Food Bank Siswa diwujudkan bagi memastikan program bantuan makanan kepada pelajar universiti dapat dijalankan dengan lebih lancar dan tersusun.

Perlaksanaan Program Food Bank Siswa di beberapa buah Universiti Awam (UA) memberikan impak positif kepada mahasiswa. Program yang menyasarkan mahasiswa berlatarbelakang keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dilihat mampu menangani isu mahasiswa lapar.

Ketika ini pihak kementerian sedang menyasarkan pelaksanaan program Food Bank Siswa ke 20 UA sebelum Disember tahun ini, dalam masa yang sama memerlukan kerjasama dan komitmen dari pelbagai pihak untuk menjayakannya.

Dijangka, program ini bakal diperluas ke Institusi Pendidikan Guru (IPG), Kolej-kolej Komuniti, Sekolah Agama dan universiti-universiti swasta pada masa akan datang.

Model Food Bank ini sebenarnya sudah dilaksanakan secara meluas di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), Jepun dan Perancis. Di AS, program Food Bank digerakkan oleh persatuan-persatuan bukan kerajaan (NGOs) dalam membantu rakyat mereka yang memerlukan makanan.

Kebiasannya, persatuan ini mendapat suntikan dana daripada individu-individu yang memiliki kekayaan yang besar tetapi gemar melakukan kerja-kerja amal (philanthropist). Selain itu, dana juga dikumpul memalui kaedah ‘crowdfunding’ yang sememangnya popular dalam kalangan masyarakat maju.

Oleh sebab itu, program seperti ini lebih mudah digerakkan oleh NGO tempatan tanpa perlu menunggu tindakan daripada kerajaan. Ini membolehkan matlamat Food Bank itu sampai kepada kumpulan sasar dengan lebih berkesan tanpa sebarang karenah birokrasi.

Contohnya Feeding America, satu NGO kebajikan ketiga tersebar di AS yang memiliki rantaian lebih daripada 200 Food Bank yang mampu memberi manfaat sehingga 46 juta orang.

Laman web mereka juga turut menawarkan beberapa perkhidmatan lain seperti sumbangan daripada orang ramai, pendaftaran sukarelawan, pencarian lokasi Food Bank dan sebagainya.

Berbeza dengan model yang diguna pakai di AS, Malaysia merupakan satu-satunya negara setakat ini yang mana program Food Bank melibatkan malah digerakkan oleh pihak kerajaan sendiri yakni melalui KPDNHEP.
Ini adalah satu langkah strategik yang wajar di peringkat permulaan bagi menggesa pelaksanaan program Food Bank di Malaysia dengan segera. Jaringan industri seperti pasaraya, kedai-kedai dan pembekal-pembekal yang berada di bawah Kementerian digunakan bagi menjayakan inisiatif ini demi kebaikan masyarakat.

Oleh yang demikian, program Food Bank Siswa merupakan langkat tepat daripada pihak kerajaan bagi meringankan beban pelajar di universiti. Isu mahasiswa lapar adalah satu isu yang realiti yang membelenggu pelajar-pelajar miskin sejak beberapa tahun yang lalu.

Kita sering terlupa bahawa isu kos sara hidup yang tinggi turut melibatkan kumpulan pelajar universiti dan bukan sahaja golongan dewasa dan pekerja. Kebajikan pelajar-pelajar ini harus dijaga dengan baik supaya mereka dapat sentiasa fokus dalam pelajaran tanpa perlu memikirkan masalah kewangan dan makanan.

Sebagai koordinator Food Bank Siswa, saya memikul tanggungjawab untuk memastikan program ini dapat memenuhi sasaran untuk dilaksanakan di 20 UA sehingga akhir tahun ini. InsyaAllah, kita akan jalin lebih banyak kerjasama di setiap negeri agar tidak ada kelompok pelajar B40 yang akan terpinggir daripada menerima manfaat ini.

 

Penulis adalah Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) dan Anggota Parlimen Johor Bahru.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=73503

Posted by on May 22 2019. Filed under RENCANA. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE