Fuziah gusar dengan pelaburan China di Kuantan

Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh menyuarakan kebimbangannya tentang pengaruh pelaburan China di Kuantan.

Beliau berkata, ia tidak wajar dan berpotensi menggugat keselamatan negara.

Beliau mengulas laporan khas Malaysiakini berhubung pelaburan China menerusi Taman Industri Malaysia China Kuantan (MCKIP) dan pemilikan negara itu dalam Pelabuhan Kuantan.

“Membenarkan 40 peratus pegangan kepada satu syarikat milik negara asing boleh menggugat keselamatan negara kita.

“Wajarkah dan patutkah perkara ini di benarkan?” katanya dalam kenyataan.

Malaysiakini sebelum ini menerusi laporan khasnya melaporkan syarikat milik kerajaan China, Guangxi Beibu Gulf International Port Group Co Ltd menguasai 49 peratus pegangan dalam MCKIP.

Syarikat sama juga turut memiliki 40 peratus pegangan dalam Pelabuhan Kuantan yang menghadap Laut China Selatan.

Menurut Fuziah, warga Kuantan berhak bimbang dengan perkembangan ini kerana risiko ancamannya “jauh lebih besar” berbanding pencemaran akibat perlombongan bauksit sebelum ini.

“Terminal ini boleh membenarkan kapal-kapal besar berlabuh. Siapa yang akan mengawal dan memastikan ia tidak menggugat keselamatan warga Kuantan dan rakyat Malaysia?”

Fuziah berkata, kerajaan pimpinan BN bertanggungjawab membenarkan China menguasai aset strategik negara.

“Bagaimana warga Kuantan boleh berasa selamat di saat 40 peratus (pegangan) pelabuhannya dikuasai syarikat milik negara asing?

“Kita mahukan pembangunan dan peluang pekerjaan, menambah jumlah perdagangan melalui Pelabuhan Kuantan. Tetapi perlukah kita berkompromi dalam isu keselamatan?” soalnya lagi.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=70631

Posted by on Oct 11 2017. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE