Gagal reformasi Parlimen, Pandikar didesak letak jawatan

(Oleh Nadia Hanafi)

PETALING JAYA 16 MEI: Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia didesak untuk melepaskan jawatan ekoran kegagalannya mereformasikan institusi Parlimen.

Penegasan itu disuarakan Majlis Setiausaha Pakatan Harapan pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, hari ini.

pc-phKetua Setiausaha Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, tindakan Pandikar menolak cadangan beberapa pembaharuan penting sistem Jawatankuasa Pilihan Parlimen menunjukkan beliau tidak lagi dianggap berkesan sebagai Speaker Dewan.

“Beberapa pembaharuan penting seperti Jawatankuasa Pendidikan, Jawatankuasa Integriti, Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negara dan beberapa lagi telah ditolak Jawatankuasa Kabinet yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi.

“Jawatankuasa sama juga menolak cadangan Jawatankuasa Menimbang Rang Undang-undang kerana kemungkinan akan ada kelewatan dalam proses penggubalan Rang Undang-undang dari segi logistik sebelum dapat dibawa ke Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Jawatankuasa Kabinet tersebut juga telah menolak Jawatankuasa Peruntukan Perbelanjaan dan mencadangkan bahawa fungsinya dilaksanakan melalui Jawatankuasa Dewan sedia ada.

“Oleh yang demikian, Tan Sri Pandikar telah melepaskan peluang keemasan untuk benar-benar mereformasikan institusi Parlimen,” kata Saifuddin.

Tegas beliau, Speaker perlu mengekalkan kebebasan supaya tidak memihak kepada kerajaan atau pembangkang seperti saranan Sultan Selangor baru-baru ini, walaupun lantikan Speaker Dewan lazimnya dicadang oleh pihak pemerintah.

Tambah Saifuddin, sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melantik Pandikar sebagai calon Ketua Menteri Sabah, bermakna beliau tidak lagi boleh dianggap bebas dari kehendak politik kerajaan dan secara tidak langsung tidak lagi berkesan sebagai Speaker Dewan yang tidak memihak kepada sesiapa.

“Sekiranya Tan Sri Pandikar tidak lagi memberikan fokus melaksanakan reformasi Parlimen dan beliau benar-benar ingin kembali mahu aktif berpolitik, maka beliau harus segera meletakkan jawatan dan memberi ruang kepada orang lain untuk memegang jawatan Speaker Dewan,” katanya.

Hadir sama sidang media, Ketua Penerangan KEADILAN, Syed Ibrahim Syed Noh; Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Rais Hussin; Setiausaha Agung Amanah, Annuar Tahir dan Setiausaha Publisiti DAP, Teresa Kok.

Selain itu, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad; Pengarah Strategi KEADILAN, Sim Tze Tzin dan Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong.

Pandikar pada 5 April lalu dilaporkan berkata, sedang mempertimbangkan aktif semula dalam politik, dan menyatakan hasratnya bertanding di kerusi negeri atau Parlimen di Sabah pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

The Daily Express melaporkan Pandikar, 64, anak kelahiran Kota Belud, sedang menyasarkan salah satu kerusi DUN baharu yang dicadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam persempadanan semula.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, politik Sabah dikatakan bergoncang dengan tersebarnya desas desus mengatakan ada beberapa tokoh sedang mengatur gerakan kepada jawatan tertinggi di negeri itu ekoran ketidakmampuan Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman melawan kemaraan Pembangkang.

Spekulasi ini dikuatkan lagi apabila Pandikar menyatakan hasrat untuk bertanding di kerusi negeri atau Parlimen di Sabah pada PRU akan datang, sekaligus diramal bakal merampas jawatan Ketua Menteri.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=69968

Posted by on May 16 2017. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE