Saiz Teks: A A A

Geran Selangorku RM300 juta dilaksana Mac

(Oleh: Mohd Martin Kahar)

 

SHAH ALAM 22 Feb: KERAJAAN negeri Selangor yakin taraf kehidupan rakyat di negeri itu dapat dipertingkatkan melalui pelaksanaan Geran Selangorku berjumlah RM300 juta yang akan bermula Mac ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail berkata, dana itu meliputi pelbagai  program dengan penekanan diberikan kepada program menaik taraf kemudahan awam.

“Dalam geran ini kerajaan negeri memperuntukkan Sebanyak RM50 juta untuk menaik taraf kemudahan awam termasuk membaik pulih jalan raya, perparitan dan sebagainya.

“Selain itu kerajaan negeri juga memperuntukkan program pembinaan infrastruktur sukan, sokongan pendidikan, pemerkasaan wanita dan keusahawanan muda yang setiap satunya berjumlah RM30 juta,” katanya ketika dihubungi Keadilandaily.

Beliau berkata, bagi menjana kehidupan yang lebih makmur kepada masyarakat luar bandar, kerajaan negeri memperuntukkan RM22 juta untuk program penggerak pembangunan luar bandar.

Program itu disasarkan kepada petani dan nelayan terutamanya untuk program pembinaan infrastruktur dan pemasaran.

Selain itu peruntukan sebanyak RM 20 juta diagihkan kepada program pejabat ke rakyat dan program kebajikan kepada pekerja.

“Program pejabat ke rakyat bertujuan memudahkan rakyat berurusan dengan pejabat kerajaan yang dijangka dapat mengurangkan belanja mengurus. Antara program yang dirancang termasuklah pembangunan sistem maklumat online contohnya di pejabat tanah.

“Bagi program kebajikan pekerja pula kita mensasarkan golongan penerima bantuan kebajikan seperti zakat dan ia dijangka dapat membuka peluang pekerjaan bagi mengubah kehidupan menerusi program latihan vokasional,” katanya.

Kerajaan negeri juga menurutnya komited untuk membanteras rasuah melalui program pembasmian rasuah dan penyelewengan dengan peruntukan sebanyak RM15 juta.

Dalam usaha merapatkan jurang pendapatan,  kerajaan negeri memperuntukkan RM10 juta untuk program Pengenalan Gaji Minima dan ia disasarkan kepada kakitangan syarikat milik kerajaan negeri.

Manakala RM10 juta lagi diagihkan kepada program jangkaan kehidupan bandar yang mensasarkan peningkatan taraf kehidupan masyarakat bandar.

“RM5 juta lagi akan diagihkan kepada program peningkatan kualiti hidup rakyat, kemahiran penjawat awam, pengukuhan demokrasi selain program pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar. Kerajaan negeri juga turut memperuntukkan RM3 juta untuk program pengukuhan budaya dalam usaha memajukan program kesenian Selangor” ujarnya.

Beliau berkata kesemua dana itu akan diuruskan oleh Perbadanan Menteri Besar (MBI) dan ia diperoleh daripada bayaran dividen syarikat milik kerajaan negeri selain keuntungan MBI.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=26961

Posted by on Feb 22 2012. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry