Harapan ikrar tangkap MO1 dalam 100 hari memerintah

Pakatan Harapan berikrar untuk menangkap “Malaysian Official 1” (MO1) dalam masa 100 hari mentadbir Putrajaya, selepas menang dalam pilihan raya umum akan datang.

Tindakan itu kata Pengerusi Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad, adalah salah satu ikhtiar untuk merubah Malaysia untuk menjadi antara sepuluh negara paling bersih di dunia menjelang 2030.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melapor terus kepada perdana menteri. Mereka hanya berani tangkap ‘ikan bilis’. ‘Ikan jerung’ seperti MO1 masih bebas.

“Harapan berikhtiar untuk membersihkan Malaysia dari najis rasuah, bermula dari pimpinan tertinggi kerajaan.

“Kami bertekad untuk menjadikan Malaysia antara sepuluh negara paling bersih mengikut indeks persepsi rasuah Transparency International menjelang tahun 2030,” katanya pada sidang media di pejabat ketua pembangkang di Parlimen, hari ini.

MO1 mula disebut dalam saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) tahun lalu. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan kemudian mengesahkan MO1 adalah Najib.

Saman itu bertujuan menyita aset di negara itu yang didakwa diperolehi melalui penyelewengan dana 1MDB.

Sementara itu, Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata gabungan pembangkang itu juga berjanji akan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat penyelewengan 1MDB.

Harapan juga katanya akan meminda beberapa akta bagi meningkatkan ketelusan kerajaan, iaitu Akta Perlindungan Saksi 2009, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan Akta Rahsia Rasmi 1972.

Semua komitmen yang dinyatakan ini terkandung dalam lima langkah antirasuah yang dibacakan Mahathir ketika himpunan antikleptokrasi 14 Oktober lalu.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=70713

Posted by on Oct 31 2017. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE