Harapan Johor desak Khaled jawab tuduhan RM12 juta

Pakatan Harapan Johor menggesa Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk menjawab tuduhan mendakwa beliau menerima RM12 juta untuk mengubah status lot perumahan bumiputera kepada status bukan bumiputera.

Enam pemimpin Harapan dalam satu kenyataan bersama menuntut jawapan daripada Khaled susulan tindakan sebuah laman web yang memuat naik dokumen yang didakwa dikaitkan dengan penyiasatan SPRM terhadap perkara itu.

“Isu melibatkan pengubahan status lot perumahan bumiputera yang timbul telah memberi gambaran bahawa kerajaan negeri BN pimpinan Khaled telah gagal untuk memperjuangkan nasib rakyat.

“Oleh itu, Pakatan Harapan Johor mendesak agar Khaled Nordin tampil ke hadapan dan menjawab persoalan ini dengan kadar segera tanpa berselindung,” petik kenyataan itu.

Ia ditandatangani oleh Pengerusi Harapan Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Shahruddin Md Salleh, Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan, Pengerusi KEADILAN Johor, Hassan Karim dan pemimpin DAP Johor, Liew Chin Tong.

Tuduhan itu ditimbulkan oleh ADUN Senai Wong Shu Qi di Dewan Undangan Negeri Johor, semalam yang menyebabkan beliau diperintah meninggalkan sidang dewan.

Wong memetik sebuah laman web yang memuat naik kenyataan seorang saksi SPRM dalam siasatan kes itu.

Saksi tersebut mengaitkan Khaled dengan dakwaan menerima suapan sebanyak RM12 juta untuk menukar status lot perumahan bumiputera.

Wong kemudian menuntut supaya Khaled menjawab pertuduhan itu tetapi sebaliknya, dirujuk kepada jawatankuasa hak dan keistimewaan dan diarah keluar dewan.

Mac lalu, exco kerajaan negeri Johor Datuk Abdul Latif Bandi ditahan dan didakwa sebulan kemudian atas 33 pertuduhan bersubahat bersama seorang jururunding hartanah melibatkan wang suapan RM30.3 juta.

Sebelum itu, pada 25 Februari lalu, anak exco itu dan pegawai khas beliau ditahan SPRM dalam satu serbuan.

Dalam operasi berkenaan, SPRM turut merampas 21 kereta mewah, lima motosikal berkuasa tinggi, wang tunai kira-kira RM500,000 termasuk mata wang asing dan dokumen-dokumen yang dipercayai dapat membantu siasatan.

Sebanyak 45 akaun bank milik bersama semua suspek melibatkan sekurang-kurangnya RM15.5 juta juga dibekukan bagi membantu siasatan.

Dalam perkembangan sama, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki mengesahkan pembocoran dokumen kenyataan rakaman percakapan melibatkan kes bekas exco itu di media sosial.

Memetik Malaysiakini, Azam berkata pihaknya memandang serius pembocoran itu dan akan membuat laporan polis supaya mereka yang bertanggungjawab diambil tindakan mengikut lunas undang-undang.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=70803

Posted by on Nov 29 2017. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE