Hargai penjawat awam, Subang Jaya tonjol wajah Malaysia

“Walaupun kita berpisah kau tetap di hati kami, rindu sedih duka cita bagai cinta yang hilang, walaupun enggan berpisah denganmu kami doakan terbaik untukmu.”

Itu antara bibit-bibit lagu penghargaan khas buat Ketua Balai Polis USJ8, ASP Jasni Zolpa yang mengakhiri tujuh tahun berkhidmat untuk masyarakat Subang Jaya, sebelum berpindah tugas ke Bukit Aman kerana dinaikkan pangkat.

Lagu bertajuk ‘Kami Doakan Terbaik Untukmu’ ciptaan David Cha, yang juga penduduk Subang Jaya menarik perhatian apabila didendangkan masyarakat komuniti pelbagai kaum kawasan berkenaan.

Ahli Parlimen Subang Jaya, Wong Chen yang turut muncul dalam video penghargaan berkenaan turut memberikan pujian atas perkhidmatan ASP Jasni.

“Tuan Jasni telah berkhidmat dengan komuniti Subang Jaya secara profesional, berdedikasi dan penuh ihsan selama tujuh tahun. Pemimpin masyarakat setempat berkumpul untuk memberikannya satu penghormatan yang istimewa dan bermakna adalah bukti kepada perkhidmatan yang sangat baik.”

“Pemimpin masyarakat setempat mendekati saya untuk menyertai video tersebut. Mereka melakukan semua kerja, saya hanya menyanyikan lagu itu dan menyumbang sedikit wang untuk majlis perpisahan,” katanya.

Penghargaan untuk penjawat awam masyarakat pelbagai kaum yang ditonjolkan penduduk Subang Jaya turut dipuji dan disifatkan di luar kebiasaan sehingga dizahirkan menerusi lagu.

Seorang pengguna Facebook, Encik Zairi dalam komennya berkata, masyarakat USJ kehilangan seorang penjawat awam yang merupakan seorang pemimpin terbaik pernah ada.

“Beliau menitikberatkan kebajikan anggotanya malah memberi tumpuan segala permasalahan penduduk dibawah pentadbirannya. Beliau sering turun padang berjumpa dgn komuniti penduduk,” katanya.

Sementara itu, Irene Woo pula berkata, lirik lagu penghargaan yang dirakamkan menerusi lagi perpisahan itu merupakan gambaran sebenar pengalaman komuniti setempat selama tujuh tahun bersama bapa kepada empat cahayamata itu.

“Terima kasih banyak Tuan Jasni. Tuan terbaik dan semoga ini menjadi memori terbaik untuk Tuan. Lirik lagu itu cukup menggambarkan pengalaman residen USJ dengan Tuan…Rindu, Sedih, Dukacita,” ujarnya.

Penghargaan komuniti Subang Jaya terhadap ASP Jasni turut dikongsi Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan laman Facebook rasmi Polis Diraja Malaysia.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=74165

Posted by on Oct 21 2019. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE