Hentikan campur tangan politik dalam urusan keselamatan negara – Anwar

(Oleh Aisha Geoffrey)

PETALING JAYA 4 MAC: Pakatan Rakyat yakin komitmen dan kecekapan pasukan keselamatan menjaga pertahanan negara dan berharap agar tiada campur tangan politik bagi menyelesaikan isu pencerobohan di Sabah.

Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim percaya, anggota keselamatan boleh menjalankan tanggungjawab menjaga keselamatan negara tanpa kekangan politik.

Lahad“Pasukan keselamatan negara pastinya dapat menjalankan tugas dengan profesional sekiranya diberi kebebasan bertindak tanpa sebarang campur tangan politik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, hari ini.

Pakatan turut merakam takziah kepada keluarga lapan perwira negara yang terkorban di Lahad Datu dan Semporna.

Seluruh rakyat juga diajak agar terus mendokong pasukan keselamatan sama ada polis mahupun tentera.

“Kita berdoa moga mereka kekal selamat dan bersemangat mempertahankan negara dan rakyat Malaysia dari ancaman penceroboh,” kata Anwar mewakili Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.

Hadir sama, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Anwar berkata, usaha memastikan kedaulatan negara serta keselamatan rakyat Sabah dan pasukan keselamatan sepatutnya dipertahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Setiap pimpinan mana-mana negara sekalipun bertanggungjawab mempertahan kedaulatan wilayah negara, keselamatan rakyat dan pasukan keselamatan. Kegagalan berbuat demikian merupakan satu pengkhianatan serta menodai amanah rakyat,” tegasnya.

Beliau turut menggesa isu pencerobohan bersenjata itu tidak dijadikan alasan untuk pemimpin negara saling tuduh-menuduh.

“Sewajarnya kepimpinan negara memberi tumpuan kepada isu keselamatan negara serta tidak mengalihkan pandangan rakyat dari kelemahan mereka,” katanya.

“Justeru, Pakatan mengingatkan pimpinan negara agar tidak alpa memastikan keselamatan setiap rakyat, setiap inci tanah Sabah dan keselamatan rakyatnya wajib dipertahankan,” kata Anwar.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=46423

Posted by on Mar 4 2013. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google