Hutang sebenar negara lebih 53 peratus KDNK – Azan Ismail

(Oleh: Aedi Asri)

KUALA LUMPUR 21 Mac: Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail menyifatkan, kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussin berkenaan hutang negara di paras 53 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah tidak tepat.

“Peratusan itu diambil dari tahun lepas. Sekiranya kita mengambil kira hutang perbelanjaan terbaru, termasuk anggaran Belanjawan 2012, hutang negara pasti melebihi had ditetapkan.

“Malah, ia belum mengambil kira peruntukan luar jangka dan projek-projek yang didanai melalui pinjaman yang dijamin kerajaan, yang tidak dimasukkan dalam belanjawan,” ujar Azan.

Beliau turut menjelaskan, paras 55 peratus sebenarnya terlalu tinggi untuk dijadikan had siling hutang negara.

Beliau merujuk jawapan Awang Adek kepada soalan dari Ahli Parlimen Machang, Datuk Saifuddin Nasution Ismail di Dewan Rakyat hari ini, berkenaan tindakan kerajaan untuk mengawal hutang negara yang semakin meningkat.

Merujuk laman Malaysiakini, Awang Adek melalui jawapannya mengatakan, hutang negara belum mencapai tahap kritikal kerana kurang 2 peratus dari had pinjaman yang dibenarkan perlembagaan, iaitu 55 peratus daripada KDNK.

17 Februari lalu, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua mengatakan kerajaan memanipulasi belanjawan dengan tidak memasukkan beberapa projek mega dalam belanjawan, sebaliknya menjadi penjamin kepada syarikat yang membuat pinjaman.

Tony Pua juga mengatakan kerajaan juga secara sewenang-wenangnya meminda undang-undang untuk menaikkan had hutang negara, dari 40 peratus pada tahun 2003 hingga 55 peratus pada masa kini.

Bercakap lanjut Azan berkata, kerajaan turut mengheret rakyat untuk sama-sama menanggung hutang, sehingga hutang isi rumah negara mencecah RM600 bilion, antara tertinggi di dunia.

“Sebenarnya ini isu yang perlu dititikberatkan. Kerajaan Umno BN melalui polisi seperti kadar bunga dan caj bank, melahirkan rakyat yang terbeban dengan hutang yang cukup besar,” ujar Azan.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=28461

Posted by on Mar 21 2012. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google