Import makanan tinggi, punca harga mahal

Oleh AKMAL NASIR

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyatakan bahawa lebih banyak barang keperluan pengguna turun harga sejak Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) diperkenalkan.

Menurut beliau, daripada 417 item yang disemak harganya, 90 peratus barangan mencatatkan penurunan harga.

Ini adalah satu perkembangan yang baik yang memberi kesan langsung kepada perbelanjaan rakyat. Namun, kita tidak boleh menidakkan sentimen rakyat yang sebenar di bawah.

Biarpun semakan harga menunjukkan penurunan, rakyat masih lagi terbeban dengan harga barang makanan yang mahal.

Saya ingin merujuk kepada satu artikel yang dikeluarkan oleh Khazanah Research Institute (KRI) mengenai inflasi dan kos sara hidup. Dalam kita cuba menangani masalah kos sara hidup, penting untuk kita fahami dua konsep yang nampak sama tapi realitinya berbeza – pendapatan isi rumah dan perbelanjaan isi rumah.

Hakikatnya, masih ramai lagi rakyat Malaysia yang masih bergelut untuk memiliki kehidupan yang selesa. Satu kajian yang dijalankan oleh KRI mendapati isi rumah yang berpendapatan RM2,000 ke bawah pada tahun 2016 membelanjakan lebih kurang 95% pendapatan mereka, meningkat daripada 92% pada tahun 2014.

Perbezaan perbelanjaan isi rumah juga dapat dilihat dalam kumpulan pendapatan isi rumah yang berbeza. Isi rumah yang memiliki pendapatan melebihi RM5,000 telah meningkatkan perbelanjaan makanan mereka sama ada di rumah atau di luar.

Namun yang menarik perhatian, isi rumah yang memiliki pendapatan kurang daripada RM5,000 terpaksa berbelanja lebih untuk makanan disebabkan kadar inflasi harga makanan yang tinggi.

Ini menunjukkan dengan peningkatan harga makanan, isi rumah yang berpendapatan rendah terpaksa berbelanja lebih untuk makanan.

Salah satu faktor utama yang menyumbang kepada harga makanan yang tinggi adalah disebabkan nilai import bahan makanan ke Malaysia yang kekal tinggi dari tahun ke tahun.

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) berkata pada 2014, import makanan berjumlah RM42.6 bilion, peningkatan mendadak sebanyak RM12.4 bilion berbanding empat tahun sebelum itu yang hanya merekodkan bil sebanyak RM30.2 bilion.

Malahan, berdasarkan statistik data perdagangan sector pertanian yang diperoleh bagi tahun 2005-2017, import bahan makanan telah menunjukkan peningkatan setiap tahun secara konsisten. Risiko kebergantungan kepada bahan makanan import adalah kenaikan harga yang tidak boleh dikawal oleh kerajaan.

Jikalau kita masih ingat, Ringgit Malaysia mula mencatatkan penyusutan nilai yang berterusan berbanding US Dollar. Kejatuhan yang berpanjangan bermula pada Ogos 2014. Bermula pada kadar tukaran RM3.20, Ringgit Malaysia terus jatuh 12 bulan yang berikutnya sehingga mencecah nilai tukaran RM4.40.

Kejatuhan nilai Ringgit ini sudah semestinya memberi impak kenaikan kos kepada sektor perdagangan negara khususnya urus niaga import.

Ringgit yang lemah telah memaksa entiti perniagaan untuk membayar lebih mahal untuk jumlah bahan makanan yang sama. Ini telah memaksa peniaga-peniaga untuk mengalihkan kos tersebut kepada pengguna yang akhirnya merasai kenaikan harga barang yang ketara.

Ini seterusnya menjurus kepada inflasi yang diimport disebabkan penigkatan kos bahan makanan yang berpunca daripada kejatuhan nilai mata wang negara.

Para pengeluar akan mengambil kesempatan memindahkan kos komponen yang diimport termasuk kos bahan mentah kepada negara pengguna. Hal ini juga akan mengakibatkan kenaikan harga barang terhadap pendapatan isi rumah dan penurunan nilai gaji.

Saya menyambut baik beberapa inisiatif yang telah diperkenalkan oleh KPDNHEP bagi menangani masalah harga barang makanan yang mahal. Salah satunya adalah Inisiatif Kedai Ekonomi Rakyat atau i-KeeP.

I-KeeP diperkenalkan bagi menggantikan Kedai Rakyat 1 Malaysia (KR1M), yang telah gagal dan tidak mendapat sambutan disebabkan model perniagaan yang tidak mampan. Disebabkan itu, peruntukan wang rakyat RM300 juta ringgit untuk program KR1M juga turut terbazir begitu sahaja.

Berbeza dengan konsep KR1M yang menggunakan perbelanjaan yang besar, inisiatif i-Keep dirangka dan dilaksanakan tanpa menelan sebarang kos. I-Keep menawarkan barang keperluan harian pada harga tiga hingga 20 peratus lebih murah daripada harga pasaran di premis kendalian rakan strategic peruncitan yang menyertai inisiatif itu.

Selain itu, KPDNHEP juga telah melancarkan satu lagi program berimpak tinggi yang mampu memanfaatkan lebihan makanan yang diberi nama Program Food Bank.

Program Food Bank adalah satu inisiatif bagi mengumpul lebihan makanan yang masih boleh diguna semula dan diasingkan untuk diagih oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan-badan amal.

Usaha seperti ini sudah semestinya akan memberikan manfaat khususnya kepada isi rumah B40. Melalui inisiatif ini, sebanyak 945 tan metric lebihan makanan berjaya diselamatkan setakat November tahun lalu dan berjaya disalurkan kepada 26,200 isi rumah di seluruh Malaysia.

Saya ingin menegaskan bahawa usaha yang berterusan haruslah dijalankan bagi menurunkan harga barang makanan, selari dengan persekitaran inflasi ekonomi yang rendah.

Pengarah urusan Khazanah Nasional Berhad Datuk Shahril Ridza Ridzuan turut menyatakan bahawa harga makanan menjadi penyebab utama belanja isi rumah meningkat.

Daripada segi penguatkuasaan, walaupun KPDNHEP memiliki bidang kuasa untuk mengawal dan memantau harga barang, penetapan harga barang di pasaran pada asasnya bergantung kepada pengeluaran sesuatu bahan makanan tersebut.

Tetapi, penyusunan dan strategi pengeluaran makanan dalam negeri terletak di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA).

Oleh yang demikian, saya berpendapat wujudnya keperluan untuk meletakkan kuasa bagi memantau keseluruhan rantaian pembekalan makanan daripada peringkat pengeluar (petani, nelayan, pengilang, dan sebagainya) kepada proses penetapan harga kepada golongan pengguna diletakkan di bawah satu kementerian bagi menangani masalah kenaikan harga barang dengan lebih berkesan.

Penulis adalah Ketua Angkatan Muda KEADILAN Malaysia dan Anggota Parlimen Johor Bahru

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=73206

Posted by on Mar 13 2019. Filed under RENCANA. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE