Indeks harga tidak selari kos sara hidup

Oleh AKMAL NASIR

Indeks Harga Pengguna atau Consumer Price Index (CPI) merupakan kayu pengukur kenaikan harga barang ataupun inflasi, yang sedikit sebanyak memberi petunjuk mengenai turun naik harga barang dalam pasaran.

Inflasi diukur atau dikira mengikut kumpulan harga barangan tertentu iaitu bakul barangan atau ‘basket of goods’. Kumpulan harga barangan semasa akan dibandingkan dengan harganya sebelum ini bagi menilai perubahan harga dalam tempoh tertentu.

Setiap kategori barangan dan perkhidmatan mempunyai pemberat berbeza yang menyumbang kepada angka indeks CPI. Pemberat yang ditetapkan bagi setiap kategori barangan dan perkhidmatan di atas melambangkan corak perbelanjaan pengguna.

Tiga kumpulan harga utama yang mempengaruhi CPI ialah makanan dan minuman bukan alkohol, (2) perumahan (iaitu termasuk air, elektrik serta gas) dan (3) Pengangkutan (iaitu termasuk harga minyak).

Berdasarkan data terbaru yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, Indeks CPI bagi bulan Januari 2019 mencatatkan angka -0.7 peratus. Namun, penurunan kadar CPI ini seolah-olah gagal diterjemah kepada penurunan harga barang yang boleh dirasai oleh rakyat.

Bahkan, biarpun semakan harga oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menunjukkan penurunan, rakyat terutamanya golongan B40 masih lagi terbeban terutamanya dengan harga barang makanan.

Jadi, apakah usaha yang telah dibuat oleh kerajaan bagi menghadapi masalah ini?

Food Bank bantu B40(sub

Pertama, KPDNHEP melancarkan satu program berimpak tinggi yang mampu memanfaatkan lebihan makanan yang diberi nama Program Food Bank.

Program Food Bank adalah satu pendekatan bagi mengumpulkan lebihan makanan yang masih boleh diguna dan untuk diagihkan kepada kumpulan sasaran oleh persatuan dan pertubuhan amal.

Usaha seperti ini bukan sahaja mengurangkan pembaziran, tetapi juga memberikan manfaat khususnya kepada isi rumah B40. Melalui inisiatif ini, sebanyak 945 tan metrik lebihan makanan berjaya diselamatkan setakat November tahun lalu dan disalurkan kepada 26,200 isi rumah di seluruh Malaysia.

Malahan, program ini juga berjaya dimanfaatkan bagi menangani masalah mahasiswa lapar yang hangat diperkatakan baru-baru ini.

Kedua, KPDNHEP juga memperkenalkan Inisiatif Kedai Ekonomi Rakyat atau I-KeeP. I-KeeP menawarkan barang keperluan harian pada harga tiga hingga 20 peratus lebih murah daripada harga pasaran di premis kendalian rakan strategik peruncitan yang menyertai program itu.

I-KeeP diperkenalkan bagi menggantikan Kedai Rakyat 1 Malaysia (KR1M), yang gagal (seperti yang diakui oleh bekas Timbalan Menteri Kewangan Kedua Johari Abdul Ghani) dan tidak mendapat sambutan disebabkan model perniagaan yang tidak mampan.
Disebabkan itu, peruntukan wang rakyat RM300 juta untuk program KR1M juga turut terbazir begitu sahaja.

Menurut Laporan Bank Negara Malaysia (BNM) Suku Tahunan 2017, terdapat tiga faktor yang membezakan kos sara hidup dengan inflasi.

Pertama, kos sara hidup dan inflasi merupakan dua konsep yang berbeza. Inflasi Indeks Harga Pengguna (IHP) dikira berdasarkan satu bakul barangan dan perkhidmatan yang mencerminkan corak penggunaan isi rumah Malaysia secara purata dan harga purata dalam ekonomi.

Setelah mengambil kira perbezaan corak perbelanjaan dan harga di pelbagai lokasi, inflasi IHP keseluruhan tidak akan mencerminkan dengan tepat kos sara hidup seseorang individu.

Kedua, walaupun IHP hanya mengambil kira perubahan tahunan harga barangan dan perkhidmatan, perbincangan mengenai isu kos sara hidup turut melibatkan aspek pendapatan.

Isi rumah menerima kesan daripada kenaikan kos sara hidup bukan hanya apabila kos meningkat bahkan apabila pendapatan mereka tidak meningkat sejajar dengan kenaikan kos, yang seterusnya menyebabkan kuasa membeli mereka berkurang.

Ketiga, persepsi orang ramai terhadap kenaikan harga juga berdasarkan pada beberapa pandangan berperasangka yang semulajadi. Ia mungkin disebabkan corak perbelanjaan setiap pengguna yang memiliki keperluan dan kehendak yang berbeza-beza.

Meskipun dalam persekitran inflasi yang rendah, rakyat masih merasakan bahawa kos sara hidup meningkat dengan drastik sejak beberapa tahun kebelakangan ini seperti yang digambarkan oleh inflasi Indeks Harga Anggapan (PePI).

Prasangka ini diperkuatkan lagi dengan pengenalan cukai GST pada tahun 2014. Situasi yang lebih buruk dirasai di kawasan bandar di mana kadar inflasinya lebih tinggi berbanding peratusan peningkatan gaji setiap tahun.

Oleh itu, saya menyambut baik usaha terbaru kerajaan yang diumumkan oleh YB Menteri Kewangan untuk memperkenalkan Indeks Kos Sara Hidup bagi mengukur kos sara hidup sebagai kaedah membantu majikan menetapkan kadar gaji yang bersesuaian.

Selain itu, saya berpendapat pelbagai lagi usaha perlu digiatkan oleh kerajaan bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat. Saya juga yakin isu gaji pekerja sebagai salah satu faktor utama dalam permasalahan ini.

Insya-Allah saya akan cuba menarik perhatian masyarakat dan pemegang taruh terhadap isu pemberian gaji setimpal kepada pekerja sebagai usaha bagi mengatasi masalah kos sara hidup di Malaysia.

Penulis adalah Ketua Angkatan Muda KEADILAN Malaysia dan Anggota Parlimen Johor Bahru

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=73208

Posted by on Mar 27 2019. Filed under RENCANA. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE