Ingkar perintah Agong: KEADILAN Rembau lapor polis

SEREMBAN: KEADILAN Rembau dan PAS Paroi hari ini membuat laporan polis
menggesa siasatan berkenaan kertas mesyuarat tahunan Umno Cawangan Taman Rasa Sayang, Bahagian Rembau kerana didakwa mengandungi  isu perkauman dan fitnah.

Ini juga berikutan ahli Umno di cawangan berkenaan tidak menghormati dan
mengingkari titah Yang Dipertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin yangmahu rakyat negara ini tidak membangkitkan isu sensitif menyentuh
perkauman.

“Antara yang jelas ditimbulkan mereka adalah isu agama dan perkauman.
Ini cukup membuktikan mereka ingkar dengan titah Tuanku Mizan supaya
menjauhi amalan ini,” kata Setiausaha Cabang KEADILAN Rembau, Nor Azizi
A Aziz sambil menunjukkan bukti beberapa gambar di dalam kertas
mesyuarat itu yang didakwa boleh mencetuskan perbalahan kaum.

Kertas mesyuarat tahunan 2011 tersebut mengandungi lapan halaman yang
keseluruhannya menerbitkan perihal sentiviti kaum.

Antara tulisan pada salah satu gambar yang terpampang wajah Penasihat
DAP, Lim Kit Siang berbunyi, “Kita hapuskan hak Melayu, kita tolak
Islam, mari bersama kami, PAS, PKR dan DAP!!”.

Nor Azizi yang mewakili ketuanya, Badrul Hisham Shaharin berkata,
perkara itu dipandang serius kerana melibatkan penyuburan budaya politik
kotor di kalangan penyokong parti.

“Oleh itu, kami menuntut polis menyiasat supaya tindakan membudayakan
fitnah dan adu domba seperti ini dielakkan untuk kepentingan politik
pihak tertentu bertujuan melihat perpecahan antara kaum di negara kita,”
katanya di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban pada sidang media
selepas laporan itu dibuat.

“Apa yang kita mahukan adalah politik matang kerana kerajaan Pakatan
Rakyat (PR) menganjurkan pengetahuan politik dengan penghujahan untuk
membawa rakyat kepada pemilihan parti yang layak disokong.

“Tapi (apa) yang dilakukan Umno itu tidak menggambarkan sikap
profesional mereka menghadapi parti pembangkang, sebaliknya menghentam
perkara yang mengingkari titah Agong,” kata Nor Azizi.

Sementara itu, PAS yang diwakili Ahli Dewan Undangan Negeri Paroi,
Mohamad Taufek Ab Ghani turut menyelar tindakan Umno dan menggesa supaya penyiasatan segera dilakukan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Umno Taman Rasa Sayang itu.

“Jika usaha-usaha jahat ini tidak dihentikan, ia akan membawa kepada
permusuhan dan kebencian antara kaum yang akhirnya menggugat kestabilan
dan keamanan negara.

“Pelbagai tuduhan palsu dan fitnah dilemparkan kepada pemimpin PR untuk
menimbulkan kebencian rakyat,” kata Taufek.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=8468

Posted by on Mar 9 2011. Filed under NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE