Insiden Sembrong: Hishamuddin cuba lepas diri
KUALA LUMPUR 24 Feb: KEADILAN menyifatkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein cuba lepas diri dalam insiden serangan di ceramah Datuk Seri Anwar Ibrahim di Sembrong, Johor baru-baru ini.
Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, penafian Hishamuddin bahawa tempat kejadian bukan di kawasannya merupakan alasan naif.
“Dia bolehlah gunakan alasan sempadan polis atau sempadan pilihan raya untuk melepaskan diri. Tetapi isunya yang sebenar, bagaimana cara Umno menghadapi rakyat dengan mengupah samseng untuk mengacau dan mengganggu,” katanya.
Dalam kejadian Ahad lalu, kereta Anwar diserang samseng dipercayai upahan Umno, menyebabkan cermin keretanya pecah dan bahagian badan kenderaannya itu kemek teruk.
Malah ceramah beliau turut diganggu kira-kira 100 samseng dari kumpulan berkenaan, menyaksikan beberapa penyokong Pakatan Rakyat cedera.
Kumpulan terbabit yang kebanyakan terdiri di kalangan remaja belasan tahun, turut melempar mercun, telur, botol dan kayu selain berteriak melontar kata-kata kesat ketika Anwar berucap.
Bagaimana pun Hishammuddin semalam menafikan dakwaan serangan ke atas ahli KEADILAN itu berlaku dalam kawasan parlimennya.
Ketika dihubungi Malaysiakini, petang semalam, Saifuddin berkata, Hishamuddin patut menggesa polis melengkapkan siasatannya segera kerana kes itu disifatkan sangat mudah untuk diselesaikan.
“Tak perlu ambil masa berbulan-bulan untuk kenal pasti (suspek). Orang kampung sendiri kenal siapa terlibat. Apa yang susah sangat. Saya rasa seminggu sahaja boleh selesai. Paling lama pun dua minggu,” katanya.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=27137






