Islam, Confucianism galak hidup bermasyarakat – Anwar
Seperti agama Islam yang mengajar nilai-nilai mulia, ajaran Confucianism turut punya galakan serupa – antaranya mengajak manusia menjadi kurang mementingkan diri sendiri sebaliknya hidup bermasyarakat.
Presiden KEADILAN, Anwar Ibrahim dalam majlis pelancaran buku Islam and Confucianism: A Civilizational Dialogue di ISTAC, Universiti Islam Antarabangsa, Kuala Lumpur berkata, kedua-dua sistem ini mahukan pembentukan masyarakat bertimbang-rasa.
“Islam dan Confucianism menggalakkan manusia hidup bersama-sama secara aman dalam masyarakat berbilang kaum.
“Pada hari ini, kita bukannya membentuk persefahaman, tapi perseteruan.
“Penerbitan buku ini amat tepat pada masanya bersempena persidangan minggu ini di Pulau Pinang bagi menggalakkan persefahaman dan sifat saling hormat-menghormati,” katanya.
Buku Islam and Confucianism edisi baru merupakan kumpulan esei dari beberapa sarjana, disunting Syaikh Kulliyyah ISTAC, Profesor Dr Osman Bakar.
Anwar menulis prakata panjang dalam buku tersebut, sehingga disifatkan Dr Osman sebagai satu bab sendiri dalam buku itu.
Anwar juga menyentuh kepentingan buku tersebut dalam masyarakat negara ini yang dibentuk majoritinya oleh penganut agama Islam dan ajaran falsafah Confucianism.
Susulan pelancaran buku ini, satu dialog bertajuk Islam-Confucianism Civilizational Dialogue akan diadakan di Spice Arena, Bayan Lepas, Pulau Pinang pada 30 November dan 1 Disember ini.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=74350