Isu Lahad Datu: Tian Chua fail permohonan batal pertuduhan Akta Hasutan

Tian Chua, Ahli Parlimen dan Naib Presiden PKR telah memfailkan satu Notis Permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mengusulkan Mahkamah supaya pertuduhan dan pendakwaan terhadapnya di bawah seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Kes Jenayah No: 6-62-259-03/2013 digantung dan/atau diketepikan dan dibatalkan.
yb-tian-chua-mp-batu-4-405x270Alasan-alasan Permohonan:

1. Prosiding jenayah ini adalah penyalahgunaan proses dan suatu ejekan keadilan. Ia adalah kewajipan Mahkamah untuk memastikan terdapat perbicaraan adil mengikut undang-undang dan selanjutnya melindungi dan memelihara maruah dan integriti dalam proses keadilan jenayah dan sistem kehakiman;

2. Pertuduhan terhadap Tian Chua adalah lebih cenderung bermotifkan politik, perbuatan pendakwaan terpilih, dilakukan dengan berniat jahat, menjejaskan kedaulatan undang-undang;

3. Pertuduhan terhadapnya adalah salah disisi undang-undang kerana kesalahan menghasut dibawah Akta Hasutan hanya boleh digunapakai sekiranya perkataan-perkataan tersebut merujuk kepada Yang di-Pertuan Agong (atau Yang di-Pertua Negeri) atau terhadap Kerajaan dan bukannya parti politik seperti Umno; Ini telah disahkan apabila Umno telah memfailkan saman fitnah terhadap beliau melalui Guaman Sivil No: 23 NCVC-36-03/2013 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

4. Akta Hasutan merupakan akta lapuk yang diperkenalkan oleh penjajah Inggeris dan tidak sesuai digunakan di masa sekarang. Ianya melanggari hak-hak asasi khususnya Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan. Tambahan lagi Perdana Menteri Najib Razak pada 11.7.2012 telah mengumumkan untuk memansuhkan akta tersebut yang diakui beliau sendiri sebagai akta dari “bygone era” dan akan digantikan dengan Akta Harmoni Nasional.

5. Pertuduhan terhadap Tian Chua adalah bertentangan dengan dasar awam disebabkan beliau adalah seorang ahli Dewan Rakyat dan ahli politik pembangkang yang secara suci hati dan niat baik telah menggunapakai hak kebebasan bersuara dan hak lain yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan telah melaksanakan kewajipannya kepada masyarakat awam dan negara untuk memeriksa dan memperseimbangkan (check and balance) tindak-tanduk kerajaan selaras dengan amalan demokrasi negara.

6. Persoalan dan ulasan Tian Chua terutamanya berkaitan dengan pemberian kad pengenalan secara tidak sah dan/atau tersembunyi kepada warga asing telah terbukti di dalam prosiding Suruhanjaya DiRaja Bagi Menyiasat Masalah Pendatang Asing di Sabah yang menunjukkan bahawa persoalan dan ulasannya mempunyai asas dan/atau adalah demi kepentingan awam.

7. Terdapat lebih banyak kes hasutan yang lebih serius dan teguh yang jelas menyalahi undang-undang tetapi tiada dakwaan berikutnya kerana individu-individu tersebut adalah berkait dan/atau merupakan penyokong/ahli UMNO. Antara kes-kes hasutan baru-baru ini adalah seperti berikut:

(a) kenyataan Zulkifli Noordin pada 6.3.2013 yang memperlekehkan kaum India and agama Hindu; Beliau adalah ahli Dewan Rakyat bebas dan naib presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) yang menyokong UMNO;

(b) kenyataan Ridhuan Tee Abdullah pada 18.2.2013 yang memperlekehkan kaum India and agama Hindu; Beliau merupakan Profesor Madya di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia yang menyokong UMNO;

(c) ugutan Ibrahim Ali pada 19.1.2013 untuk membakar Kitab Injil yang mengandungi kalimah “Allah”; Beliau adalah ahli Dewan Rakyat bebas dan presiden PERKASA yang menyokong UMNO;

(d) kenyataan Shahrizat Jalil pada 28.11.2012 yang membangkitkan kemungkinan berlakunya rusuhan kaum seperti yang berlaku pada 13.5.1969. Beliau merupakan Ketua Wanita Umno dan bekas Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Jelas dari aliran pendakwaan kes-kes hasutan yang lampau, hampir kesemua mereka yang didakwa adalah dari parti pembangkang. Antara kes-kes pendakwaan hasutan baru-baru ini adalah seperti berikut:

(a) Suhaimi Shafie, ahli PKR dan ahli Dewan Undangan Negeri Selangor yang dituduh pada 7.2.2011;
(b) Karpal Singh, Pengerusi Nasional Democratic Action Party (DAP) dan ahli Dewan Rakyat yang dituduh pada 17.3.2009;
(c) P. Uthayakumar, bekas penasihat undang-undang dan ketua Hindu Rights Action Force (HINDRAF) yang dituduh pada 11.12.2007.

Dikeluarkan oleh:

Eric Paulsen & Latheefa Koya
Peguamcara & Peguambela Tian Chua
12 April 2013

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=50084

Posted by on Apr 12 2013. Filed under KENYATAAN MEDIA. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google