Isu Sekolah Tamil Seaport selesai di bawah Kerajaan Pakatan

PETALING JAYA: Isu pembinaan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJK) Seaport di kawasan Dewan Undangan Negeri Seri Setia dianggap selesai apabila pembinaan sekolah berkenaan mendapat kelulusan daripada beberapa agensi kerajaan.

“Mesyuarat terbaru yang diadakan pada 17 Januari lepas sudah mendapat persetujuan daripada beberapa badan kerajaan termasuk Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR),” kata Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad.


Menurut Nik Nazmi, Kampung Lindungan dipilih sebagai lokasi pembinaan sekolah baru tersebut yang berdekatan dengan beberapa kawasan perumahan berhampiran, memandangkan SRJK (T) yang paling dekat dengan penduduk kawasan itu sebelum ini terletak di SS7  Kelana Jaya.

“Tapak sekolah Tamil yang kami kenal pasti berada di kawasan Kampung Lindungan supaya pelajar daripada beberapa kawasan terdekat termasuk Desa Mentari, Desaria dan Kampung Dato’ Hormat akan mendapat kemudahan pendidikan yang lebih sempurna,” katanya ketika mengadakan sidang media di Dewan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pagi tadi.

Semasa di bawah pentadbiran Umno, kerajaan negeri pada masa itu memperuntukan 5 ekar tanah untuk pembinaan sekolah berkenaan. Namun janji itu hanya tinggal janji apabila kerajaan negeri di bawah Menteri Besar Khir Toyo hanya memberikan setengah ekar tanah bagi tapak sekolah berkenaan sehingga membangkitkan kemarahan kaum India di sekitar kawasan Seri Setia.  
Ekoran bantahan penduduk, projek pembinaan tersebut tertangguh pada 2008 sehingga diambil alih Kerajaan Pakatan Rakyat. Selepas rundingan bersama Pengerusi Ibu Bapa Guru (PIBG), kerajaan negeri akhirnya memperuntukkan 1.5 ekar tanah bagi tujuan pembinaan sekolah baru itu pada November tahun lalu.

Nik Nazmi berkata, JKR meluluskan pelan pembinaan sekolah dengan 18 kelas berbanding rancangan terdahulu yang hanya memperuntukkan 10 kelas.

“Rancangan terbaru dengan 18 buah kelas itu akan memberikan keselesaan kepada pelajar selain tempat yang dipilih sesuai dibina sekolah untuk menggantikan sekolah Tamil yang berusia 15 tahun di SS7, Petaling Jaya,” ujarnya.

Sebelum ini, Nik Nazmi memberitahu bahawa PKNS menyerahkan sumbangan cek bernilai 1.2 juta pada 2008 untuk pembinaan sekolah tersebut tetapi akibat bantahan, sehingga kini projek tersebut tidak dijalankan.

“Selepas mendapat persetujuan semua pihak, saya berharap JKR akan memulakan pembinaan sekolah itu secepat mungkin demi pendidikan anak-anak kaum India,” kata Nik Nazmi.

Turut hadir sidang media itu Pengerusi PIBG Sekolah Tamil Seaport, R.Purushothamal dan beberapa wakil kaum India di DUN Seri Setia.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=6318

Posted by on Feb 7 2011. Filed under NASIONAL, SEMASA. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. Both comments and pings are currently closed.

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE