Isytihar harta satu komitmen musuhi rasuah

Pada Ahad 19 November lalu, buat pertama kali dalam sejarah Malaysia, Invoke Malaysia dan 30 wakil rakyat dan pimpinan tertinggi daripada Pakatan Harapan mengisytiharkan harta sekaligus menandatangani satu perjanjian Akujanji
Khidmat Rakyat di antara Invoke dan mereka. Saya salah seorang daripadanya.

Antara pimpinan berkenaan ialah Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Datuk Johari Abdul, Salahuddin Ayub, Fuziah Salleh, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, Wong Chen, Laksamana Pertama (B) Imran Abdul Hamid, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, Dr Hatta Ramli, Khalid Samad, G. Manivannan, Nik Nazmi, Simon Ooi, Lee Chean Chung, Saari Sungib, Rodziah Ismail, Dr Idris Ahmad, Tan Kar Hing, S. Kesavan, Aminuddin Harun, Azan Ismail dan Datin Paduka Tan Yew Kew. Turut mengisytiharkan harta ialah Dato’ Mahfuz Omar dan Hj Mohamad Sabu (tidak dapat hadir).

Majlis tersebut dibuat secara terbuka, malah rakyat boleh melihat sendiri jumlah aset bersih mereka, yang dipaparkan di skrin dan akan diterbitkan di laman Invoke. Ia merupakan kumpulan pertama pimpinan dan dijangka beberapa kumpulan lagi akan menyusul dalam bulan mendatang sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-14 diadakan.

Sikap berani, telus dan bertanggungjawab di kalangan ahli politik itu meniupkan satu nafas baru kepada lanskap politik negara dan sewajarnya disambut baik oleh rakyat dan warga politik.

Walaupun ahli politik khususnya wakil rakyat tidak diwajibkan untuk mengisytiharkan harta, namun pendekatan sukarela tersebut diharapkan menjadi contoh dan pendorong untuk ahli politik lain untuk turut sama isytihar.

Malah, ia satu isyarat jelas komitmen ahli politik untuk memusuhi rasuah dan salahguna kedudukan selain kesediaan untuk dinilai secara telus oleh rakyat.

Menurut Rafizi Ramli, pengasas Invoke dan Naib Presiden KEADILAN, peristiwa itu akan membawa era baru dalam politik tanah air. Pengisytiharan yang dibuat di bawah Akta Akuan Harta Berkanun 1960 itu merupakan petanda terkehadapan dalam menginstitusikan budaya disiplin dan kebertanggungjawaban diri dalam politik, tambahnya.

Ini kerana penyakit rasuah sudah menjadi budaya dan seolah-olah tiada sesiapa yang benar-benar boleh menebat dirinya daripada rasuah tidak kira sama ada orang biasa, penjawat awam, orang warak apatah lagi ahli politik dan pemimpin besar.

Ia perlu kepada pencegahan bukan semata-mata pemulihan. Ia perlu kepada satu tindakan yang luar biasa dalam keadaan di mana rakyat sudah luntur kepercayaan terhadap ahli politik yang ditanggapi buruk kerap memunggah kekayaan kerana menyalahgunakan kedudukan dan kuasa.

Justeru menjadikan budaya mengisytihar harta di kalangan penjawat awam termasuk wakil rakyat boleh mewujudkan suasana persekitaran yang mengurangkan rasuah kerana mereka sedar rakyat boleh menilai. Ia diharap boleh mengembalikan keyakinan rakyat kepada kepimpinan yang amanah, telus dan bertanggungjawab.

Menerusi pendekatan ini, sekiranya ahli politik berniat untuk mengambil wang suapan atau berbelanja secara melampau melebihi pendapatan sedangkan mereka tahu butir-butir berkenaan perlu masuk dalam pengisytiharan harta tahunan yang boleh diteliti oleh juruaudit dan rakyat, maka niat dan aktiviti rasuah dapat dikekang.

Sekiranya mereka menyembunyikan harta atau perbelanjaan maka mereka boleh didakwa kerana berbohong di bawah akuan bersumpah. Sekiranya mereka isytihar jumlah yang rendah maka ada pihak yang boleh meneliti pengisytiharan berkenaan kerana ia sudah menjadi pengetahuan umum.

Bunyinya mudahkan? Kalau begitu mudah mengapa langkah begini tidak diambil lama dahulu? Mengapa penjawat awam dan ahli politik tidak mengisytihar harta sejak lama dahulu? Mengapa tidak dijadikan wajib buat ahli politik khususnya wakil rakyat?

Banyak pendapat. Ada yang berkata jika harta diisytihar oleh wakil rakyat maka ramai yang akan beratur meminta bantuan kewangan. Benarkah begitu? Saya percaya rakyat Malaysia tidak begitu kecuali yang betul-betul memerlukan.

Ada yang berkata jika harta diisytihar tetapi hutang banyak bagaimana untuk bantu rakyat? Bagaimana menjadi wakil rakyat atau calon sedangkan hutang bertimbun? Ini mudah dijawab.

Bantuan kepada rakyat bukan terletak kepada kaya, miskin atau jumlah hutang seseorang. Ia terletak kepada kesungguhan dan keikhlasan untuk membela rakyat. Jika wakil rakyat itu bagus, rakyat akan sokong. Bukanlah bermakna harta atau wang tidak penting namun dana dan segala bantuan itu bukan tanggungjawab ahli politik semata-mata. Ia lebih merupakan tanggungjawab kerajaan berasaskan dasar yang adil dan benar membela rakyat.

Ada juga yang berkata pengisytiharan itu hanya gimik politik. Ia hanya tindakan peribadi Rafizi. Ia tidak membuktikan apa-apa dan tidak dapat menyembunyikan pandangan biasa terhadap politik Malaysia sebagai jendela kepada kuasa, keselesaan dan kekayaan peribadi.

Malah ada juga yang berkata pengisytiharan harta tersebut dan perjanjian akujanji hanyalah untuk memenuhi syarat supaya wakil rakyat dan calon berpotensi boleh mendapat dana daripada Invoke.

Ini tidak benar. Sementara ramai sedar budaya politik rasuah, kotor dan mewah dimiliki oleh Umno BN namun masih ramai ahli politik yang telah dan sanggup berkorban demi rakyat walaupun dipenjara, disaman atau ditangkap.

Menurut Rafizi, “Kami melakukan ini bukan semata-mata untuk menang pilihan raya atau memanipulasi sesiapa, kami mengunjurkan lima-enam tahun penggal untuk perubahan budaya”.

Rafizi turut menegaskan bahawa Invoke tidak partisan kepada mana-mana parti secara khusus dan membuka inisiatif mengisytihar harta kepada semua, termasuk PAS, selagi mana mereka dari kerusi-kerusi marginal (kalah tipis) dan bersedia untuk mengalahkan calon-calon pro-BN serta meletakkan komitmen terhadap mereformasi institusi.

Katanya lagi, sambil menghormati keputusan partinya (KEADILAN) dan Pakatan Harapan berkenaan pengisytiharan harta, beliau akan mengusulkan supaya pendekatan serupa diambil dalam KEADILAN dan di kalangan parti-parti yang lain.

Akhirnya, walaupun pengisytiharan harta memang wujud dan diamalkan dalam kerajaan (rujuk Peraturan 10, Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993) dan oleh kerajaan negeri khususnya Pulau Pinang dan Selangor di mana pengisytiharan harta perlu dilakukan di kalangan Ketua Menteri, Menteri Besar dan Exco, namun mungkin pendekatan yang lebih terbuka kepada penelitian rakyat serta penguatkuasaan boleh dikaji semula.

Masa sekarang bukan lagi masa keselesaan. Najis rasuah sudah terlalu berakar umbi dalam negara, khususnya dalam politik. Mangsanya ialah kualiti hidup rakyat dan kemajuan adil dan saksama buat seluruh negara. Sudah tiba masanya reformasi politik dan institusi digerakkan. Moga langkah Invoke dan wakil rakyat serta calon berpotensi mengisytihar harta serta menandatangani akujanji membuka pentas baru perubahan.

 

Syed Ibrahim Syed Noh adalah Ketua Penerangan KEADILAN

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=70794

Posted by on Nov 21 2017. Filed under RENCANA. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE