‘Jangan dipengaruh pangkat dan harta apabila berkuasa’

Anggota KEADILAN diseru agar tidak membiarkan pangkat, kuasa dan harta daripada mengaburi asas perjuangan dan dasar parti selama ini.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam ucapan dasarnya berkata, kuasa dan pangkat yang dimiliki sekarang adalah satu bentuk ujian.

Anggota KEADILAN hari ini perlu insaf bahawa kedudukan yang dikecapi ini juga adalah kerana perjuangan setiap anggota di bawah sejak lama dahulu.

“Kita harus iktiraf dan hargai para reformis yang berjuang sejak 1998, mereka yang hilang kerja akibat dibuang dan dipecat, mereka yang jatuh bankrap akibat gagal membayar hutang membiayai perjuangan, mereka yang cedera dipukul, dihina, dicaci, dilokap, dipenjara dan pelbagai penderitaan yang dilalui.

“Namun mereka tegar berdiri menyatakan hak kepada pemimpin yanag rakus dan zalim. Ramai juga yang telah meninggalkan kita,” katanya pada Kongres KEADILAN Nasional ke-13 di sini, hari ini.

Timbalan perdana menteri itu yang menyampaikan ucapan terakhirnya sebagai presiden KEADILAN bertukar sebak apabila sebahagian perwakilan mengangkat sepanduk bertulisan ‘Terima Kasih Kak Wan’ tanda penghargaan kepada beliau.

Dr Wan Azizah memikul amanah sebagai presiden KEADILAN sejak penubuhannya.

Jawatan itu selepas ini akan disandang Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam pada itu kata Dr Wan Azizah, KEADILAN wajar tekal menjunjung agenda Reformasi.

“Kita berjuangan membela yang hak dan menentang yang batil. Kita tentang kemungkaran dan kita mengajak kepada kebaikan.

“Kita lawan kezaliman dan dan kita tegakkan keadilan. Kita parti yang lahir dari perjuangan, keringat dan air mata rakyat di jalanan, kita bukan lahir dengan hamparan permaidani indah,” jelasnya.

Jelasnya lagi, perjuangan 20 tahun KEADILAN penuh dengan pelbagai halangan dan rintangan.

“Meskipun kita belum sampai ke tahap pengorbanan yang membawa kepada terkorban nyawa; namun penahanan, pemenjaraan, penghinaan, serta segala macam kesusahan telah kita sama-sama lalui demi menjayakan agenda reformasi,” ujarnya lagi.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=72574

Posted by on Nov 17 2018. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE