Jangan doa orang mati untuk saya ke Parlimen – Anwar

Bakal presiden KEADILAN yang baharu, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa orang ramai agar tidak berjenaka tentang kematian mana-mana ahli Parlimen untuk mencetuskan satu pilihan raya kecil bagi membolehkan beliau bertanding dan menyertai Dewan Rakyat semula.

Menurutnya, perletakan jawatan ahli Parlimen sedia ada sebaliknya adalah satu kaedah lebih baik untuk beliau ke Dewan Rakyat.

“Saya tidak fikir janggal jika mana-mana ahli Parlimen mempelawa untuk saya mengambil alih dan jangan kita doakan orang mati cepat,” kata Anwar pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN pagi ini.

Menurutnya lagi, peralihan kuasa daripada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad adalah perkara yang bukan luar biasa apabila ia berlaku kelak.

“Saya sukar mengerti pandangan begini – orang yang kurang arif tentang politik. Peralihan (kuasa) itu perkara yang biasa kerana keputusan itu dibuat semasa saya di penjara lagi.

“Sebab itu di kalangan kepimpinan parti semuanya menyatakan harus berlaku (peralihan kuasa). Cuma segera atau tidak – saya jawab tak perlu segera. Yang perlu disegerakan adalah pemilihan parti,” katanya lagi.

Anwar turut menyatakan komitmen beliau untuk mereformasikan institusi Parlimen apabila menjadi perdana menteri.

“Selepas itu saya akan berbincang dengan Tun Mahathir untuk memberi ruang kepada saya menyertai Parlimen untuk memulakan proses reformasi Parlimen.

Reformasi Parlimen itu satu agenda besar dalam negara kita,” katanya.

Anwar baru sahaja memenangi jawatan presiden KEADILAN apabila tidak dicabar sesiapa untuk jawatan tersebut dalam Pemilihan KEADILAN 2018.

Beliau kini layak aktif berpolitik secara rasmi selepas diberikan pengampunan diraja berhubung kes Fitnah II.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=72160

Posted by on Aug 9 2018. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE