‘Jangan jadi wira Melayu yang abaikan kaum lain’

Presiden KEADILAN, Anwar Ibrahim berkata tidak mahu menjadi pemimpin bergelar ‘Wira Melayu’ jika kepentingan etnik bukan Melayu tidak terbela.

Beliau percaya setiap kaum perlu dilayan sama rata sebagai bangsa Malaysia.

“Mudah bagi saya menjadi seorang wira untuk orang Melayu. Saya tahu apa yang perlu dilakukan.

“Namun, sebagai sebuah negara pelbagai bangsa seperti Malaysia tidak boleh membezakan kepentingan di antara kaum sehingga menimbulkan ketegangan,” katanya ketika menyampaikan Pidato Pembinaan Bangsa Malaysia dalam Siri Dialog Shah Alam Hidup Bersama Dalam Kepelbagaian malam tadi, di Shah Alam.

Anggota Parlimen Port Dickson itu percaya pemimpin bertanggungjawab untuk menjaga semua rakyat tanpa mengira bangsa mereka.

“Majoriti kaum di negara ini ialah orang Melayu tetapi jika kaum India yang bekerja di ladang atau kaum Cina di bandar yang miskin, mereka juga tanggungjawab pemimpin,” katanya.

Anwar menekankan, pemimpin bukan sahaja perlu berjuang untuk mempertahankan nasib kaum Melayu sahaja tetapi seluruh rakyat Malaysia.

“Walaupun nilai ini tidak dipupuk sejak dulu dalam diri bukan hanya orang Melayu, malah orang Cina dan India tetapi adakah kita menerima ini sebagai norma? Di mana kemanusiaan kita?” katanya kepada hadirin.

Dialog yang berlangsung selama sehari anjuran Institut Darul Ehsan (IDE) yang mengangkat tema Pembinaan Bangsa dan Budaya Damai itu turut membariskan ramai cendekiawan, ahli akademik dan pimpinan politik.

Dalam Kongres Kebangkitan Melayu pada Ahad lalu, beberapa isu berkaitan masyarakat Melayu, antaranya mengkaji semula kontrak sosial, menutup sekolah vernakular dan jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan perlu dalam kalangan orang Melayu sahaja.

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) pada kongres itu menuntut beberapa jawatan penting negara dikhususkan kepada penganut Islam bermazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah semata-mata.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=74125

Posted by on Oct 11 2019. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE