Jangan pertahankan regim tidak masuk akal (Oleh Lim Hong Siang)

Mungkin ada yang terbeliak apabila Aunty Mei (Tuw Yin Lan), 71 tampil untuk menuntut agar Adnan Yaakob memohon maaf, lantaran kenyataan Menteri Besar Pahang itu bahawa peserta Greenwalk sekadar berjalan kaki untuk 200 meter, dan perjalanan yang selebihnya dihabiskan dalam kereta dan penuh keseronokan.

 

Aunty Mei mula melemparkan kata-kata “You binatang” setelah Adnan enggan memohon maaf atas kenyataannya. Barangkali ada yang tidak senang dengan kata-kata yang “kasar” sebegitu. Cuma, sejauh manakah kata-kata pembohongan lebih suci daripada kata-kata yang kesat? Kadang-kala perwatakan seperti Aunty Mei lebih dikagumi. Beliau mungkin tidak mampu berhujah dengan teori seperti graduan Oxford, tetapi apa yang benar itu akan dikatakannya benar.

 

Bohong, maknanya bohong. Mereka yang berbohong wajib memohon maaf – tidak kira sebesar mana kuasa yang digenggam oleh pembohong, atau sekecil mana hak seseorang mangsa pembohongan. Anda boleh menahan Aunty Mei dengan kuasa polis, namun anda gagal menahan tekadnya untuk menolak Lynas – yang teruji dengan perjalanan 300 kilometer, dari Kuantan ke Kuala Lumpur.

 

Masalah golongan elit adalah mereka cuba mempertahankan sesuatu yang salah dengan pelbagai alasan, yang ada kalanya sedap didengar. Mereka memetik teori yang bunyinya mendalam, tetapi tidak memberi apa-apa makna pada hakikatnya. Sedangkan, kebenaran itu tidak berbelit-belit. Ia boleh difahami dengan mudah dan jelas oleh kanak-kanak. Kemunafikan orang dewasa yang merumitkan keadaan.

 

Bagaimana jika anak-anak kita bertanya?

 

Dalam masyarakat, seringkali kita tergagap-gagap untuk menjawab soalan yang diajukan kanak-kanak. Sering kita terserempak dengan papan tanda “Jangan Buang Sampah Di Sini”, malah kebanyakannya disusuli dengan “Denda RM500″. Anak kita diasuh sejak kecil tentang kepentingan untuk memelihara kebersihan alam. Tidak cukup dengan itu, rancangan televisyen diselit dengan iklan daripada kementerian untuk menyeru agar rakyat turut serta untuk menghijaukan alam.

 

Bayangkan, bagaimana anda menjelaskan kepada anak anda, apabila kerajaan membenarkan Lynas untuk membuang sampah beradioaktif di tanah air kita sendiri? Pencinta alam berhempas pulas memungut sampah plastik yang dicampakkan di pantai, malah dalam laut – kononnya untuk menyelamatkan penyu dan makhluk dalam laut. Usaha ribuan manusia menjadi sia-sia begitu sahaja dengan satu keputusan untuk memberi lampu hijau kepada Lynas.

 

Kemudian tanpa segan silu kerajaan yang menghalalkan kemunculan Lynas di Kuantan mendabik dada mendakwa bahawa merekalah pembela masa depan kanak-kanak hari ini.

 

Air mata untuk Aminulrasyid
Baru-baru ini kita dikejutkan sekali lagi dengan pembunuhan yang dilakukan oleh pelajar di Amerika Syarikat. Sambil mengesat air mata kita mengecam Adam Lanza yang melepaskan tembakan meragut nyawa 27 orang, termasuk 20 orang kanak-kanak, sebelum membunuh dirinya. Malah ada yang menyindir tangisan Presiden AS Barack Obama apabila membandingkan tragedi ini dengan serangan terhadap Palestin, yang juga memangsakan kanak-kanak.

 

Sudutnya cukup tajam dan tepat. Tetapi saya gagal mempertahankan diri apabila peluru itu memantul ke arah Malaysia. 21 butir peluru dilepaskan ke arah seorang remaja berumur 14 tahun – siapakah di kalangan kita yang menitiskan air mata untuk Allahyarham Aminul Rasyid? Pelbagai alasan diberikan, dari “parang dalam kereta” hinggalah “tembakan dilepaskan untuk menghentikan kereta”. Kita semua pernah berusia 14 tahun. Bayangkan, apakah reaksi kita seandainya dikejar dengan bedilan peluru bertalu-talu?

 

Pengamatan saya mendapati “polis” dijadikan objek untuk menakutkan kanak-kanak. “Jika kau nangis lagi, polis akan datang dan tangkap kau,” ayat ini tidak asing untuk kita, sama ada pengalaman “diugut” ibu bapa sewaktu kecil, atau kini “mengugut” selaku ibu bapa. Makna di sebaliknya, polis akan menangkap seseorang yang berbuat salah. Bagaimana kita menjelaskan kepada kanak-kanak apabila pendatang asing dirogol oleh polis di balai? Apakah yang akan terjadi apabila kita berdepan dengan kesukaran untuk membezakan antara polis dengan penjenayah?

 

Rogol dalam balai polis
Sesungguhnya kerajaan Barisan Nasional akan mempertahankan dirinya bahawa ianya cuma beberapa titik nila yang merosakkan sebelanga susu lembu, namun apakah usaha kerajaan untuk memperbaiki keadaan, menegakkan semula keadilan dalam institusi polis? Suruhanjaya Diraja ditubuhkan untuk menerbitkan laporan yang berjilid-jilid tebalnya lantaran kes wanita diarah melakukan ketuk ketampi berbogel dalam lokap pada tahun 2005. Tujuh tahun kemudian perogolan berlaku dalam balai polis.

 

Dengan senang kita stereotaipkan pendatang asing bahawa merekalah penjenayah yang menimbulkan masalah keselamatan di Malaysia. Tetapi apabila pendatang asing dirogol oleh polis Malaysia, kita membuta dan membisukan diri kita. Apa yang berlaku di Malaysia semakin tidak masuk akal seandainya otak kita masih waras. Kita mempunyai Perdana Menteri yang merasmikan pertandingan Piala Debat PM tetapi menegaskan bahawa debat bukan budaya kita.

 

Kita mempunyai Menteri Dalam Negeri yang pernah menghunus keris, tetapi dipertanggungjawabkan untuk menjaga keselamatan Malaysia. Kita tidak terjawab apabila ditanya anak murid mengapa pemilik lesen teksi yang bersantai mengaut lebih untung berbanding pemandu teksi yang berjam-jam menahan kencing dalam kereta?

 

Kita terpinga-pinga apabila graduan universiti disenarai-hitamkan dari keluar negeri kerana belum menjelaskan hutang PTPTN yang berjumlah belasan ribu ringgit, tetapi hutang kroni yang berjuta-juta ringgit boleh dilupuskan begitu sahaja? Kita terus bisu, apabila ditanya mengapa Syed Mokthar, Vincent Tan, Anandakrishnan memiliki harta berbilion-bilion ringgit, malah semakin melonjak angkanya, tetapi Malaysia dikatakan bakal muflis pada tahun 2019?

 

Jikalau kita gagal memberi jawapan yang munasabah untuk soalan-soalan di atas apabila berdepan dengan kanak-kanak, lebih baik kita jangan pertahankan regim yang menimbulkan persoalan di atas.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=41871

Posted by on Dec 28 2012. Filed under RENCANA. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google