Janji gaji minima: Kerajaan menipu rakyat- Abdullah Sani

(Oleh: Rusnizam Mahat)
KUALA LANGAT 11 Jan: Pengerusi Biro Pekerja KEADILAN, Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, kerajaan telah menipu rakyat dengan janji gaji minima.

Ini kerana sebelum ini, Menteri Sumber Manusia, Dr S Subramaniam menyatakan kerajaan akan mengumumkan kadar gaji berkenaan menjelang akhir tahun lalu, dengan mengambil kira syor yang dikemukakan Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN).

“Sehingga kini janji tinggal janji dan menteri tidak bertanggungjawab dengan janjinya. Ia membuktikan kerajaan selama ini tidak habis membuat janji tetapi tidak berupaya mewujudkan gaji minima.

” Bicara yang diluahkan semuanya menipu belaka. Golongan pekerja dianggap kelas ketiga oleh pemerintah Umno-BN yang jelas mengkhianati janji kepada rakyat,” kata beliau kepada keadilandaily.

Menurut Abdullah, dalam keadaan pekerja swasta diabaikan, kerajaan pula melaksanakan Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang  memberi kesan buruk kepada kakitangan awam dan memperlekeh sumbangan mereka.

Misalnya kata beliau, pegawai kerajaan berpangkat Turus dan Jusa menerima kenaikan gaji sebanyak 500 peratus dan 100 peratus, manakala di peringkat kakitangan pelaksana pula hanya mendapat kenaikan 7 peratus hingga 13 peratus.

Menurutnya lagi, penilaian dan laporan prestasi tahunan berdasarkan Pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) juga meminggirkan hak kakitangan bawahan mendapat kenaikan gaji yang adil, malah menyuburkan budaya tidak sihat di sektor itu.

Disebabkan itu kata Abdullah, Pakatan Rakyat berjanji  memberi kesaksamaan kepada golongan pekerja melalui pelaksanaan gaji minima sebanyak RM1,100.

Perkara itu, katanya, dibuktikan apabila Pakatan Rakyat di Selangor  berjaya melaksanakan gaji minima RM1500 sepertimana terkandung dalam belanjawan negeri 2012.

“Janji ini termasuk mengekalkan subsidi kepada rakyat terbanyak, menjaga hak pekerja dan meningkatkan pendapatan rakyat seperti yang terkandung dalam Buku Jingga,” kata Ahli Parlimen Kuala Langat itu.

Katanya lagi, beberapa perkara seperti pindaan Akta Sekerja 1955 juga akan ditarik balik jika Pakatan diberi mandat dalam pilihan raya akan datang.

Mengenai pindaan akta berkenaan, katanya, Biro Pekerja KEADILAN akan menganjurkan himpunan dan menyampaikan  memorandum kepada Yang Di Pertuan Agong , 25 Febuari ini.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=25402

Posted by on Jan 11 2012. Filed under NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google