Jerebu: Exco Selangor nasihat kurang aktiviti luar

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi (STI) Dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Selangor, Hee Loy Sian menasihatkan orang ramai agar mengurangkan aktiviti luar susulan kualiti udara yang terjejas akibat jerebu.

Dalam kenyataan medianya, beliau berkata pemantauan kualiti udara di lima stesen di Selangor mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) sebagai “Tidak Sihat” iaitu IPU melebihi 100 bagi parameter PM2.5 pada jam 12 tengah hari 10 September 2019 di Petaling Jaya (144), Shah Alam (134), Klang (118), Banting (123), dan Johan Setia (161).

“Berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, kita berada di peringkat amaran awal di mana semua jenis pembakaran terbuka adalah dilarang sama sekali.”

“Orang ramai adalah dinasihatkan agar mengurangkan aktiviti luar rumah, menghentikan aktiviti luar bilik darjah bagi murid-murid dan disarankan agar semua aktiviti keramaian/sukan di luar bangunan ditangguhkan,” katanya.

Menurutnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, punca jerebu adalah disebabkan bilangan titik panas yang tinggi dikesan di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia dari 7 September 2019 sehingga 9 September 2019. Bilangan titik panas dikesan sebanyak 391 di Sumatera dan 255 di Kalimantan pada 9 September 2019.

“Selain itu, aktiviti pembakaran terbuka yang berlaku di atas batas-batas pertanian dan belukar di Johan Setia, Klang telah menyumbang kepada peningkatan bacaan IPU yang tinggi di stesen Johan Setia,” jelasnya.

Katanya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor telah melaksanakan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan, membuat rondaan termasuk menggunakan dron di kawasan berisiko berlaku pembakaran terbuka terutamanya di Johan Setia, dan bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bagi mengawal kes-kes kebakaran.

JAS juga katanya sentiasa memantau bacaan dan ‘trend’ IPU stesen pengawasan udara dari semasa ke semasa untuk tindakan selanjutnya, selain memberi amaran, kompaun dan tindakan mahkamah di bawah Seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kepada pelaku kesalahan.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=74000

Posted by on Sep 10 2019. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE