Majlis tunang anak Najib guna wang rakyat RM400,000

PETALING JAYA 9 Mac: KEADILAN hari ini mendedahkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, telah menggunakan  sebanyak RM409,767 wang rakyat untuk menanggung kos majlis pertunangan anak perempuannya, yang diadakan di Seri Perdana tahun lalu.

Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli berkata,  kos itu merangkumi satu tempahan majlis bankuet di Hotel Shangri La yang menyediakan perkhidmatan katering untuk majlis pertunangan berkenaan.

Berdasarkan dokumen yang diedar kepada media, kos  tersebut telah dicaj kepada Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

“Hari ini kami tampil dengan bukti kukuh bahawa majlis tersebut dibiayai oleh rakyat Malaysia apabila keseluruhan urusan tempahan dan pembayaran dibuat oleh Pejabat Perdana Menteri,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN hari ini.

Bernama sebelum ini melaporkan majlis pertunangan anak Najib, Nooryana Najwa dengan warga Kazakhstan, Daniar Nazarbayev  berlangsung pada 17 Jun tahun lalu.

Menurut Rafizi, KEADILAN juga telah membuat semakan dan berjaya mengesahkan individu-individu yang dinamakan di dalam dokumen tersebut adalah sahih.

Berdasarkan bil pembayaran, kos untuk jamuan VIP seramai 36 orang  berjumlah RM18,792,  kos jamuan tetamu  berjumlah RM309,975, serta kos pengendalian berharga RM81,000.

“Tetamu tidak dihidangkan dengan menu rakyat 1Malaysia, sebaliknya menu yang mirip santapan di raja termasuklah daging panggang Australia, makanan-makanan laut dan pelbagai juadah yang di luar kemampuan dan imaginasi rakyat biasa,” katanya.

“Adalah sangat memualkan apabila wang rakyat digunakan memenuhi nafsu dan citarasa mereka. Pada masa yang sama, Perdana Menteri membayar perunding-perunding untuk membina imej seorang yang makan bersama-sama rakyat dan menampilkan kesederhanaan,” ujar beliau.

Rafizi berkata, tindakan itu menggambarkan sikap buruk kerajaan, dari perdana menteri hingga ke barisan menteri kabinet yang menggunakan wang  pembayar cukai untuk kemewahan peribadi.

Sebelum ini, Pakatan Rakyat mendakwa Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansur turut menggunakan wang rakyat untuk merisik perkahwinan anak perempuan mereka di Kazakhstan, dengan berselindung di sebalik urusan rasmi negara.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=28067

Posted by on Mar 9 2012. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE