Junjung muafakat dalam pemilihan KEADILAN – Yusmadi

Bekas anggota Majlis Pimpinan Pusat, Yusmadi Yusoff menggesa agar semangat muafakat dijunjung dalam pemilihan parti tahun ini.

Seruan itu yang diistilah sebagai ‘muafakat antara yang hebat’, dibuat bekas anggota Parlimen Balik Pulau itu sewaktu beberapa kumpulan berbeza dalam KEADILAN rancak mengatur langkah untuk pemilihan parti.

“Saya ingin menyarankan agar KEADILAN mengangkat prinsip ‘muafakat antara yang hebat’ di antara pemimpin-pemimpinnya bagi mengelakkan pertembungan yang berpotensi menjejaskan keharmonian parti.

“Amalan muafakat dan tolak ansur bagi mengelakkan pertembungan dan pertandingan secara langsung ini boleh dilihat sebagai satu cerminan kepada kebijaksanaan dan kematangan parti,” kenyataan beliau dipetik.

Yusmadi percaya prinsip muafakat yang merupakan satu idea serantau mampu memandu demokrasi dalam KEADILAN.

“KEADILAN mendukung demokrasi dengan menggalakan pertandingan. Persaingan yang terlalu bersungguh-sungguh demi merebut jawatan berpotensi memecah-belahkan parti.

“Muafakat adalah cara kita berdemokrasi dengan matang demi kepentingan yang lebih besar iaitu demi rakyat dan negara. 

“Tidak keterlaluan saya katakan muafakat adalah idea demokrasi kita di rantau ini yang mempunyai nilai kemasyarakatan dan kemanusiaan demi kepentingan yang lebih besar dan bukan nilai kepentingan diri dan kelompok semata mata,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan anggota parti bahawa rakyat Malaysia akan menilai perjalanan pemilihan ini sebagai satu petunjuk kepada pentadbiran negara dengan Datuk Seri Anwar sebagai perdana menteri kelak.

“Justeru, dedikasi kita kepada satu peralihan yang lancar dan wadah pelaksanaannya adalah satu petunjuk kepada masa depan Malaysia,” katanya.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=72077

Posted by on Jul 28 2018. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE