Jutaan ringgit buat kaum India, tawaran lapuk Umno BN berulang

(Oleh Syed Ibrahim Syed Noh)

Selepas pelancaran hala tuju baru agenda Bumiputera, Transformasi Kesejahteraan Bumiputera (TKB) minggu lalu, Datuk Seri Najib melancarkan pula Pelan Induk Pembangunan Masyarakat India pada 23 April 2017. Tidak mustahil selepas ini ada pelancaran pelan induk untuk orang-orang Cina dan pelbagai kaum pula. Semuanya majlis besar-besaran, berstatus mega dan menjanjikan yang indah lagi hebat walaupun agenda sekarang gagal membawa rakyat dan negara ke tahap yang jauh lebih baik.

Syed_Ibrahim_MafrelPelan atau rancangan yang bersifat perkauman sudah menjadi budaya tradisi Umno BN sejak berpuluh tahun lamanya. Ia sudah menjadi pengetahuan umum. Malah ia dijadikan alat yang ampuh untuk memenangi pilihan raya walaupun tidak benar-benar membela nasib rakyat. Alat yang serupa akan terus digunakan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Sebab itu walaupun Datuk Seri Najib menafikan Pelan Induk Masyarakat India tersebut bukan satu lakonan atau retorik politik dan ia terkandung dalam pengumuman Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) sejak 2015, namun hakikatnya ia tidak boleh dielak daripada ditafsir sebagai umpan pilihan raya. Mengapakah parti pemerintah mengambil masa selama hampir dua tahun untuk mengumumkannya? Mengapa tunggu hingga dekat dengan tempoh tamat penggal pemerintahan iaitu 2018 (PRU 14) untuk umumkan?

Dalam pada Pelan Induk yang melibatkan peruntukan lebih RM1 bilion itu kelihatan menyeluruh dengan hampir 170 helai muka surat namun jika diteliti dengan lebih mendalam, sebahagiannya bersifat tidak komited dan hanya bayangan. Contohnya pada muka surat 50 dan 62 yang berkait dengan kumpulan India B40.

Persoalan yang selalu timbul dengan pelancaran pelbagai pelan atau insentif oleh Datuk Seri Najib dan parti pemerintah ialah sejauh mana pelaksanaannya. Datuk Seri Najib sendiri tidak yakin seperti mana akuan beliau pada Disember 2016. Kata beliau, polisi kerajaan gagal kerana proses pelaksanaan yang lemah. Apakah kali ini berbeza?

Juga bagaimanakah parti pemerintah di bawah pimpinan seorang pemimpin kleptokrat boleh memberi keyakinan kejayaan pelan tersebut? Yang dibimbangi ialah berapa banyak pula dana rakyat RM1 bilion tersebut yang mungkin tiris, bocor atau disonglap oleh sekumpulan opportunis Umno BN? Dengan pelbagai skandal ketirisan dan penyelewengan yang menyelubungi dana orang melayu seperti Felda, MARA, Tabung Haji dan 1MDB, apakah yang boleh menghalang ianya berlaku ke atas dana untuk orang India?

Pengerusi Hindraf Makkal Sakthi, P Waythamoorthy yang pernah menjadi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dilaporkan berkata pada Oktober 2016 bahawa ia bukan kali pertama Datuk Seri Najib membuat janji yang akhirnya tidak ditunaikan.

Katanya, “Najib mengkhianati ikrar ‘nambikei’ (amanah) sendiri kepada rakyat Malaysia yang berasal dari India, yang dibuat menjelang pilihan raya umum lepas pada Mei 2013, pada malam Memorandum Persefahaman (MoU) RM4.5 bilion antara Hindraf Makkal Sakthi dan BN”.

Waytha juga melahirkan kekecewaan akan kegagalan Najib dan Umno BN sejak berpuluh tahun untuk menangani beberapa isu penting, termasuk nasib 300,000 kaum India tanpa kerakyatan di Malaysia, rancangan sosio-ekonomi bagi 800,000 pekerja estet, pengambilan lebih ramai pelajar India di universiti awam, peningkatan peluang pekerjaan dalam perkhidmatan awam, dan kursus latihan kemahiran.

“Dari dulu lagi, tidak ada mana-mana pemimpin yang pernah bela nasib masyarakat India…Cuma sekarang ini di bawah pimpinan (Datuk Seri) Najib Tun Razak nasib masyarakat India masih lagi tidak terbela malah lebih teruk,” tegasnya lagi.

Waytha mendakwa Datuk Seri Najib menggunakan parti komponen BN seperti MIC dan Parti Progresif Penduduk (PPP) untuk terus menipu bagi mendapat undi masyarakat India. Beliau pernah membangkitkan isu peruntukan untuk program menaikkan taraf hidup masyarakat India yang banyak namun gagal mencapai objektif program. Menurut Waytha, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Irwin Serigar Abdullah pernah mendedahkan angka daripada kementerian mengatakan Datuk Seri Najib yang juga menteri kewangan telah memperuntukkan sebanyak RM2.88 bilion antara 2012 hingga 2014 serta RM260 juta pada 2015 untuk program menaikkan taraf hidup masyarakat India. Malah katanya, laporan polis telah dibuat. Apa jadi dengan wang itu?

Satu lagi kebimbangan yang lazim sejak akhir-akhir ini ialah ketirisan. Contohnya, peruntukan sebanyak RM37 juta telah dijanjikan untuk membangun belia-belia India melalui Yayasan Naam namun hanya RM19 juta sahaja yang telah disalurkan melalui Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri. Ini seperti yang dilaporkan oleh YB V. Sivakumar, Ahli Parlimen Batu Gajah di Parlimen pada 31 Mac 2016.

Sayugia juga diingat bahawa Pelan Induk tersebut merupakan rangka tindakan untuk 10 tahun akan datang, yang mana besar kemungkinan hasil yang diharapkan tidak tercapai dalam masa terdekat.

Cuma saya harap jangan disalah erti pula maksud saya di atas. Saya menyambut baik apa-apa pelan tindakan yang boleh membangun rakyat Malaysia tidak kira kumpulan etnik atau budaya. Ini kerana antara ciri terpenting sebagai pemerintah dan pemimpin ialah memastikan kesejahteraan rakyat menurut keperluan dan keadaan berasaskan kepada prinsip keadilan sosial dan ekonomi.

Dalam konteks Malaysia, setiap kumpulan etnik selayaknya mendapat keadilan dan pembelaan tidak kira musim, termasuk masyarakat India yang sering terpinggir dan bumiputera yang miskin. Persoalannya ialah apakah dasar perancangan itu datang daripada pemimpin yang amanah, jujur dan berwibawa?

Bagi saya, ini persoalan yang lebih besar. Krisis kepimpinan, keyakinan dan keazaman politik. Apakah yang menyebabkan rakyat pelbagai kaum boleh meletakkan kepercayaan lagi kepada Datuk Seri Najib dan Umno BN untuk mengeluarkan mereka dan negara daripada kemelut tekanan ekonomi dan kos sara hidup tinggi setelah berpuluh tahun memerintah? Jika ya, mengapa pelan demi pelan dilancarkan namun negara masih ketinggalan dengan negara jiran yang lain? Bukankah Indonesia telah mengambil alih kedudukan pengeluar nombor satu kelapa sawit dunia daripada Malaysia?

Selama ini parti pemerintah telah gagal membela nasib kaum India, apatah lagi dengan keadaan lemah parti MIC yang dikatakan sepatutnya membela kaum India. Sudah tiba masanya rakyat pelbagai kaum mengubah nasib mereka dari kegagalan Umno BN kepada harapan baru dan masa hadapan yang lebih baik di bawah Pakatan Harapan. Pakatan Harapan antara lain akan menumpu kepada menurunkan jumlah pekerja asing berkemahiran rendah, mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi, meningkatkan kadar gaji dan produktiviti dan membanteras rasuah. Ini bukan sahaja boleh memberi manfaat kepada kaum India, tetapi semua rakyat Malaysia.

* Syed Ibrahim merupakan Ketua Penerangan KEADILAN.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=69883

Posted by on Apr 25 2017. Filed under BERITA UTAMA, KENYATAAN MEDIA, RENCANA. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE