Kaji semula projek Lynas, elak tragedi Bukit Merah berulang

(Oleh Sidiqin Omar & Aedi Asri)

KUALA LUMPUR 6 November: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu kerajaan mengkaji semula dan mendapat pandangan rakyat sebelum meluluskan pembinaan loji radioaktif Lynas di Gebeng, Kuantan bagi mengelak tragedi Bukit Merah berulang.

“Ini nyawa orang. Ini bukan politik. Jangan sombong. Kaji semula sama ada berisiko atau tidak,” kata Ketua Umum KEADILAN itu di depan 10,000 rakyat pada Ceramah Perdana Merdeka Rakyat di Batu 11, Taman Mahkota Aman, Kuantan, Ahad lalu.

Beliau merujuk kelulusan yang diberi kepada loji penapisan nadir bumi Asia Rare Earth di Bukit Merah, Perak pada 80-an.

“Masa (projek itu) lulus, saya jadi Menteri. Ramai yang bantah. Tapi Dr Mahathir (Mohamad) kata ‘jalan’ (teruskan projek). (Konon) Semua bagus walaupun ada kajian EIA (Laporan Kajian Kesan Alam Sekitar) dan Jabatan Alam Sekitar. Kerajaan sahkan selamat.

“Tapi, selepas 20 tahun ada banyak laporan. Ada (penduduk) mengalami penyakit kulit, malah ada yang mati sebab ‘rare earth’ ini,” katanya.

“Kita bukannya anti pembangunan. Tapi cara macam ini (pembangunan tanpa rundingan) tak boleh lagi dilakukan, jangan
sombong…,” tegas Anwar.

Golongan ibu serah memo bantah Lynas

Dalam perkembangan berkaitan, dua bas rombongan golongan ibu dari Kuantan hadir ke Parlimen dan menyerahkan memorandum bantahan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam.

Serahan memorandum yang diketuai Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh dan 11 wakil lain itu diterima Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz.

Wakil rombongan, Rahiza Zulkifli berkata, mereka tidak akan berhenti memperjuang keselamatan alam sekitar, termasuk
menghalang kilang nadir bumi Lynas dari beroperasi.

“Sebagai ibu, kami ingin yang terbaik buat keluarga, terutama anak-anak dan negara.  Kami inginkan pembangunan yang tidak mengancam alam sekitar dan masa depan,” katanya pada sidang media selepas itu.

“Dengan berjuta tan sisa toksik berbahaya yang kekal untuk berbilion tahun di tempat tinggal kami, kami akan selamanya hidup dibayangi pencemaran ini.

“Justeru, kami minta Perdana Menteri selaku anak Pahang tunjukkan keprihatinan dan kepimpinan untuk campur tangan dalam hal ini demi kepentingan rakyat dan pembangunan jangka panjang negara sebelum ia terlewat,” sambung Rahiza.

Turut sertai rombongan itu adalah kaum bapa dan mereka senada membantah projek Lynas.

Sementara itu, Fuziah berkata, beliau memahami perasaan golongan ibu terbabit lantaran beliau sendiri adalah seorang ibu.

“Saya dapat rasa kesedihan mereka…Seorang ibu pasti akan buat apa sahaja untuk jamin masa depan anak mereka,” katanya.

Pelbagai pihak membantah operasi kilang Lynas melalui kempen risalah, memorandum, perhimpunan raksasa termasuk melalui proses undang-undang yang masih berjalan.

Pengerusi Himpunan Hijau, Wong Tack akan memulakan ekspedisi berjalan kaki dari Kuantan ke Parlimen pada 18 November ini, untuk membantah operasi kilang kontroversi ini.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=38962

Posted by on Nov 6 2012. Filed under NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google