Kami mahu pembunuh Kugan dihukum mati – Keluarga

(Oleh Masdar Wahid)

PETALING JAYA 12 Jun: Ahli keluarga mendiang A Kugan mahu V Navindran dihukum mati kerana menyebabkan kematian mangsa tiga tahun lalu.

Ibu saudara mendiang, S Reguna mendesak Navindran dikenakan hukuman setimpal di bawah Seksyen 331 Kanun Keseksaan dan bukannya 330 di bawah seksyen yang sama.

“Kami mahu V Navindran dihukum bunuh (mati) kerana terbukti menyebabkan kematian anak saudara saya Kugan dan dakwa dia di bawah Seksyen 331 Kanun Keseksaan dan bukannya 330 (kanun yang sama),” tegasnya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN dekat sini tengahari tadi.

Beliau mengulas keputusan Mahkamah Sesyen Shah Alam semalam yang menjatuhi hukuman tiga tahun penjara terhadap Navindran merupakan konstabel polis kerana bersalah atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap Kugan.

Seseorang yang disabit bersalah di bawah Seksyen 331 Kanun Keseksaan boleh didenda dan dihukum penjara hingga 10 tahun, manakala Seksyen 330 kanun yang sama hanya mendenda pesalah dan dihukum penjara tujuh tahun sebagaimana diputuskan terhadap Navindran.

“Tiada seorangpun pegawai kerajaan termasuk Menteri datang berjumpa kami walaupun sudah lebih tiga tahun Kugan mati.

“Oleh itu kami mahu kerajaan mohon maaf secara terbuka kepada keluarga kami.

“Mengapa hanya seorang pegawai polis dihukum kerana kami yakin lebih dari seorang bertanggungjawab sehingga menyebabkan kematian Kugan semasa dalam tahanan polis,” kata Renuga lagi.

Turut hadir, ibu Kugan, N Indra; Peguam keluarga Kugan, N Surendran; Pengarah Biro Guaman KEADILAN, Latheefa Koya; peguam yang juga doktor perubatan, Dr Dheeraj Bhar dan sekumpulan masyarakat India yang menyokong keluarga Kugan.

Sementara itu, ibu Kugan hanya mampu menangis dalam sidang media itu enggan memberi respon kerana masih bersedih atas kezaliman yang menimpa anaknya.

Buka semula kes – Surendran

Surendran pula menambah, kerajaan perlu menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja dan membuka semula siasatan kerana sebelum ini 11 anggota polis turut disiasat dan digantung kerja.

“Kami juga mendesak kerajaan menarik balik fitnah terhadap Kugan yang mendakwa kononnya pemuda ini penjenayah atau perompak kerana hakikatnya Kugan tidak pernah didakwa atau disabitkan bersalah di mana-mana mahkamah,” tegas Surendran.

Beliau menyifatkan anggota serta pimpinan atasan polis sebagai ‘penjenayah besar’, selain pasukan itu bersama pejabat peguam negara ‘secara sistematik, sengaja dan berpakat’ untuk menutup kes itu.

“Kami juga akan meneruskan kempen menuntut keadilan terhadap Kugan selepas ini,” kata Surendran lagi.

Pelbagai kontroversi sepanjang kes ini berlangsung termasuk Ketua Polis Selangor ketika itu, Datuk Khalid Abu Bakar (Timbalan Ketua Polis Negara ketika ini) yang mendakwa Kugan mati kerana kesusahan bernafas.

Namun, rakaman video terhadap mayat Kugan jelas menunjukkan ada kesan calar yang serius, manakala polis turut menghalang keluarga itu dari memeriksa mayat Kugan.

Pada 23 Januari 2009, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail pula ada memberitahu Senator ketika itu, T Murugiah bahawa kes itu diklasifikasi sebagai kes bunuh.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=31507

Posted by on Jun 12 2012. Filed under NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE