Kapal perang Amerika di M’sia, k’jaan ada agenda tersembunyi?

(Oleh Sidiqin Omar)

KUALA LUMPUR 8 Oktober: Kerajaan Umno BN digesa tidak menjadikan negara sebagai percaturan politik dunia dengan menempatkan tentera Amerika Syarikat (AS) di sini, kata Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.

“Jangan jadikan Malaysia sebagai ‘base’ (pangkalan). Jangan dedahkan Malaysia sebagai tempat adu domba percaturan politik,” katanya merujuk kapal perang USS George Washington yang singgah di Pelabuhan Klang, semalam.

Bernama melaporkan kenyataan pegawai pemerintahnya, Kapten Greg Fenton, kapal tersebut yang memuatkan pasukan pesawat udara Carrier Air Wing 5 dengan 5,000 anak kapal akan berada di negara ini selama lima hari.

Laporan itu turut menyatakan enam projek komuniti akan diadakan, manakala lebih 500 orang kenamaan Malaysia akan dirai dalam satu majlis di atas kapal tersebut hari ini.

Mahfuz yang ditemui di lobi Parlimen menyatakan kebimbangan apabila USS George Washington dikatakan sebagai pasukan siap siaga untuk ‘bertindak melindungi dan mempertahan kepentingan maritim AS dan sekutunya di rantau Asia Pasifik’.

Laporan itu juga menyebut, USS George Washington dijadual menganjurkan 11 lawatan untuk ahli perniagaan Malaysia dan pegawai tentera.

“(Apabila) mereka datang untuk mengetahui maritim, sudah tentu mereka tahu tentang logistik. Adakah ada agenda tersembunyi?” soal Mahfuz.

Beliau tidak menolak kemungkinan kehadiran kapal pengangkut berkuasa nuklear itu turut bertujuan ‘mengimbangi’ peranan China di Asia Pasifik.

“Sedangkan, Malaysia sendiri ada kepentingan ekonomi dan sebagainya dengan China. Kita akan cadang membawa usul mempersoal tindakan kerajaan membenarkan kapal itu berlabuh,” tegas Mahfuz.

Mahfuz menambah, tidak ada jaminan perairan Malaysia akan selamat dari kesan radiasi akibat kehadiran kapal berkuasa nuklear USS George Washington sekiranya berlaku kebocoran.

“Apa jaminan bahawa kapal (dipantau) di bawah penjagaan baik? Kerajaan tak patut benarkan kapal nuklear itu berada di sini. (Kita) nasihat, tinggalkan Malaysia segera,” tegasnya.

Pada 8 Mac 2011, kapal ‘The USS Blue Ridge’, Armada Ketujuh dalam Tentera Laut Amerika Syarikat, pernah singgah di Port  Klang Cruise Center (PCKK), kononnya bagi meningkatkan hubungan ketenteraan dengan Malaysia.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=37530

Posted by on Oct 8 2012. Filed under NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE