Kartunis jangan jadi alat politik – Zunar
KUALA LUMPUR: Kartunis politik seharusnya mengembangkan idea sendiri dalam karya-karya mereka dan bukan menjadi alat kepada sesebuah parti politik, kata karikaturis terkenal Zunar.
Beliau diminta mengulas laporan akhbar Harakah terbaru mengenai tersebarnya buku-buku kartun di Negeri Sembilan yang mencela Pakatan Rakyat hasil karya kartunis-kartunis tempatan.
Menurut Zunar, sementara tidak menjadi kesalahan bagi mana-mana kartunis untuk menerapkan ideologi politik melalui karya, tetapi ia harus dilakukan dengan tanggungjawab.
“Ramai kartunis hari ini berkarya untuk menyebarkan agenda Barisan Nasional dan mengutuk Pakatan Rakyat. Mereka menerima wang lumayan dan disuruh melukis subjek yang mereka sendiri tidak faham.
“Mereka tidak bertanggunjawab lepada karya-karya mereka, malah tidak berani untuk meletakkan nama di dalam lukisan mereka. Mereka adalah pelukis upahan,” kata Zunar.
Menurut beliau, kartunis harus sedar, bahawa pergeseran politik di Malaysia bukan sekadar diantara Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional, tetapi ia adalah antara satu pihak yang adil melawan satu pihak yang zalim.
“Bahaya, kartunis-kartunis melukis tanpa memastikan mesej dalam lukisan mereka mempromosi betul atau batil, adil atau zalim, benar atau fitnah. Asal dapat wang, semua dilukis,” tambah Zunar lagi.
Beliau mengingatkan para kartunis bahawa selagi karya-karya mereka disebar dan dibaca, selagi itu mereka tidak terlepas dari tanggungjawab. “Di dunia mereka mungkin terlepas, tetapi di akhirat tidak,” tambahnya,
Beliau menjangka banyak lagi kartunis-kartunis seperti ini akan muncul membantu BN terutama ketika pilihanraya umum akan datang.
Kepada satu soalan, Zunar mengakui menyokong Pakatan Rakyat, namun bukan kerana ia sebuah pakatan politik, tetapi kerana agenda reformasi yang dibawa sama dengan reformasi melalui karya-karya kartun beliau.
“Saya tidak melukis kerana diupah oleh mana-mana pihak. Saya bertanggunjawab dan sedia mempertahankan setiap karya-karya saya,” tambah beliau yang pernah ditangkap dan dilokap kerana melukis kartun.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=3553






