KEADILAN alukan usaha perjuangkan isu Felda

Biro Felda dan Perladangan, Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) mengalu-alukan pengumuman penubuhan Biro Parlimen mengenai Felda oleh veteran DAP Lim Kit Siang dan juga program Jelajah Semarak Kasih Felda oleh Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

shamsul-iskandar-pkrKeprihatinan pelbagai pihak terhadap isu-isu Felda adalah satu perkembangan yang amat positif. Inisiatif pelbagai pihak lewat kebelakangan ini merupakan penambahan ke atas usaha gigih kepimpinan KEADILAN, Biro Felda dan Perladangan serta pasukan peguam KEADILAN yang senantiasa memperjuangkan isu-isu peneroka Felda termasuk memberikan khidmat guaman bagi membela nasib mereka.

Komitmen parti dalam perjuangan Felda ini turut dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Selangor yang dilihat lebih awal komited dalam memperjuangkan isu-isu Felda sebermula dengan penubuhan Sekretariat Taskforce Felda Selangor bagi membantu melicinkan penyelesaian isu-isu felda dalam negeri Selangor.

Antara pencapaian utama sekretariat ini ialah apabila YAB Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali selaku Pengerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mengumumkan pembinaan 136 unit rumah berkembar setingkat untuk generasi kedua Felda Sungai Tengi pada pertengahan tahun 2016, dengan harga jualan RM97,000 bagi rumah berkeluasan 850 kaki persegi berbanding harga asal RM160,000.

Krisis yang melanda peneroka Felda kini makin meruncing, maka Biro Politik KEADILAN pada 17 Januari telah bersetuju bahawa di dalam waktu terdekat ini satu seminar berkaitan isu-isu Felda dan konvensyen peneroka-peneroka Felda akan diadakan.

KEADILAN melalui Biro Felda dan Perladangan juga akan segera memanggil semua pihak berkepentingan untuk mengadakan perbincangan yang komprehensif dan strategik bagi memastikan tindakan yang lebih tersusun dapat diambil dalam membela nasib peneroka.

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat
Ketua Biro Felda dan Perladangan

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=69740

Posted by on Jan 19 2017. Filed under BERITA UTAMA, KENYATAAN MEDIA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE