KEADILAN gesa kaji semula penggantungan aniaya mahasiswa

Pengarah Komunikasi KEADILAN Fahmi Fadzil mengecam tindakan bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menggantung pengajian Asheeq Ali atas alasan menyertai himpunan #TangkapMO1 pada 2016.

Menurut Fahmi tindakan tersebut zalim kerana Asheeq sebenarnya hanya perlu meneruskan pengajiannya selama tiga bulan sahaja lagi untuk berijazah.

“Saudara Asheeq Ali didakwa di bawah Kaedah-kaedah Universiti Kebangsaan Malaysia (Kaedah 3 dan 13) kerana menyertai perhimpunan #TangkapMO1 yang diadakan pada Ogos 2016 yang lalu.

“Peraturan tersebut selaras dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) yang selama lebih 40 tahun telah mencengkam aktivisme dan idealisme mahasiswa.

“Dengan hukuman sedemikian, penggunaan peraturan seperti AUKU telah membantut perkembangan nilai-nilai di kalangan mahasiswa khusus berkaitan hak bersuara, berhimpun dan mempertahan hak rakyat.

“Malah AUKU menyuburkan idea bahawa universiti hanyalah tempat mendapatkan ijazah, yang wujud di dalam vakum dan tiada kaitan dengan realiti politik, ekonomi dan sosial masyarakat terbanyak,” kenyataan pemimpin Angkatan Muda Keadilan (AMK) itu dipetik.

Beliau seterusnya menggesa UKM agar mengkaji semula hukuman tersebut.

“Dengan hukuman yang dikenakan terhadap saudara Asheeq Ali menjelang pilihan raya umum ke-14, ia membuktikan bahawa kerajaan BN tidak sanggup lagi dibuka pekungan akibat amalan kleptokrasi yang diamalkan mereka.

“Maka, saya menyeru agar pihak UKM mengkaji semula hukuman yang mereka kenakan terhadap Asheeq Ali.

“Akta zalim seperti AUKU perlu dimansuhkan segera. Hak mahasiswa dan para akademik termasuklah kebebasan bersuara, berkumpul, kebebasan akademik dan kuasa autonomi universiti perlu dikembalikan,” katanya.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=71464

Posted by on Mar 14 2018. Filed under NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE