KEADILAN gesa pihak berkuasa tangani isu penderaan haiwan

(Oleh: Ahmad Fadli)

 

KUALA LUMPUR: Kes penderaan haiwan di pusat penjagaan haiwan Petknode adalah bukti jelas kegagalan pihak berkuasa menangani kes kekejaman dan penderaan haiwan di negara ini.

Naib Presiden KEADILAN, N Surendran berkata, sikap pihak berkuasa yang tidak tegas menyebabkan mereka yang mendera haiwan tidak takut untuk diheret ke mahkamah.

Petknode adalah pusat penjagaan haiwan yang memiliki cawangan di Damansara Damai dan Desa Moccis di Sungai Buluh, Selangor.

Pada Ahad lalu, berita tersebar luas melalui laman Facebook dan Twitter tentang kucing-kucing yang kebuluran dan mati di pusat penjagaan itu.

Lebih memburukkan keadaan,  pemilik Petknode bersembunyi melarikan diri dan mengunci pusat penjagaan itu tanpa memulangkan kucing-kucing itu kepada tuan nya.

Mereka dilaporkan bertindak demikian kerana tidak mampu menguruskan kucing yang terlalu banyak dihantar ke pusat penjagaan itu sebelum Hari Raya Aidil Fitri.

“Dalam kes kekejaman terhadap haiwan, Akta Haiwan 1953 memperuntukkan denda tidak masuk akal sebanyak RM200 dan penjara sehingga 6 bulan sahaja.

“Kerajaan hanya berulangkali membuat janji-janji palsu yang Akta itu akan dipinda dan pada masa sama tidak memberikan perhatian terhadap rayuan aktivis haiwan dan orang ramai agar jumlah denda dinaikkan,” kata Surendran.

Surendran turut kesal dengan Jabatan Sains Veterinar yang mempunyai kuasa untuk mendakwa tetapi lambat bertindak dan menjalankan pendakwaan.

Surendran berkata, polis walaupun mempunyai kekuatan untuk bertindak di bawah Seksyen 45 Akta Haiwan 1953 langsung tidak menunjukkan minat berbuat demikian.

“Kita amat terkejut polis masih belum mengklasifikasikan jenayah ini di bawah Seksyen 420 kerana menipu atau Seksyen 379 kerana mencuri,” kata Surendran.

Justeru, Surendran menggesa pihak berkuasa bertindak segera dengan mengklasifikasikan kes ini di bawah jenayah penipuan/mencuri.

Beliau juga menggesa agar polis dikerah untuk mencari lebih 100 lagi kucing yang masih disorokkan pihak Petknode.

“Akta Haiwan yang dipinda dengan penalti yang dinaikkan juga perlu diluluskan dan menjadi keutamaan. Pelaku jenayah ini juga perlu didakwa dengan tuduhan seberat mungkin,” kata Surendran.

Terbaru, N Surendran berkata satu perjumpaan di antara pemilik-pemilik kucing yang masih belum ditemui akan berlangsung dengan Ketua Polis Daerah dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Petaling Jaya di Ibu Pejabat Daerah jam 2.30 petang ini.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=19871

Posted by on Sep 7 2011. Filed under NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE