KEADILAN kecam penahanan Eric, tolak budaya ancam mengancam

(Oleh Azuan Ab Rahman)

KUALA LUMPUR 14 JAN: KEADILAN membantah penahanan peguam hak asasi yang juga Pengasas NGO Lawyers for Liberty (LFL), Eric Paulsen
mengikut Akta Hasutan 1948.

Ketua Penerangannya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, tindakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar seolah-olah memberi gambaran penahanan itu merupakan kejayaan besar polis menahan penjenayah besar yang cuba melarikan diri.

“Walaupun saya tidak sepenuhnya bersetuju dengan kenyataan umum Eric yang boleh ditafsir menghina secara serkap jarang, namun saya juga tidak bersetuju beliau ditahan begitu rupa.

Eric Paulsen

Eric Paulsen

“Apatah lagi disusuli dengan tweet Ketua Polis Negara tentang penangkapan Eric seolah-olah dia penjenayah besar yang cuba melarikan diri,” tegasnya dalam kenyataan.

Eric ditahan melalui satu serbuan melibatkan 20 anggota polis di ibu negara sedangkan peguam itu sebelumnya bersetuju memberi kerjasama kepada pihak polis untuk disiasat.

Beliau ditahan ekoran tweetnya sebelum ini yang didakwa mengkritik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Terdahulu, Khalid berkata, Eric antara yang wajar disiasat di bawah Akta Hasutan ekoran tindakan itu.

Malah Khalid memuat naik gambar Eric di twitter beliau dengan tulisan “biadap”.

Justeru, Syed Ibrahim menggesa semua pihak menolak budaya ancam mengancam yang semakin membimbangkan dan menangani konflik yang timbul dengan berdialog secara baik dan berhikmah sebagaimana disarankan Islam melalui Al-Quran.

“Saya percaya ada beberapa perkara dasar di sini yang perlu difahami dalam konteks Malaysia sebagai negara majmuk pelbagai agama, kaum dan budaya.

“Islam mengutamakan kepentingan atau ‘kemaslahatan’ umum tanpa menafikan hak asasi manusia termasuk hak berbicara sebagaimana yang difahami melalui maqasid syariah selain menganggap tegur menegur kerana hak dan kebenaran sebagai prinsip utama dan sebahagian prinsip mengajak kepada kebaikan dan mencegah keburukan,” jelasnya.

Sambung Syed Ibrahim, perkara dasar ini akan hanya tinggal dasar jika kefahaman dan pelaksanaannya bercelaru atas motif politik dan emosi serta sentimen semata-mata.

Beliau bersedia memainkan peranan penting bersama KEADILAN bagi kembali menyuburkan budaya dialog perbincangan serta mengelakkan budaya ancam mengancam serta ugutan.

“Saya menyarankan semua pihak sama ada kerajaan, PDRM, Jakim, saudara Eric, parti politik dan NGO untuk kembali kepada dasar ini jika kita ingin benar-benar membebaskan negara kita daripada unsur ekstrimisme,” kata bekas Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) itu.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=64785

Posted by on Jan 14 2015. Filed under NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE