KEADILAN tanding 6 DUN di Terengganu, Azan Ismail calon Bandar

(Oleh Norutul Ilham)

KUALA LUMPUR 17 April: KEADILAN akan bertanding enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu.

Kawasan terlibat adalah DUN Bandar (N14), Bukit Besi (N25), Telemung (N21), Seberang Takir (N11), Permaisuri dan Kota Putera (N02).

Presiden, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengesahkan, Pengerusi KEADILAN Terengganu, Azan Ismail diletakkan sebagai calon DUN Bandar.

Azan Ismail

Azan Ismail

Penyandang kerusi Parlimen Indera Mahkota itu akan bertemu calon tunggal MCA, Datuk Toh Chin Yaw di negeri itu.

Manakala Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Dungun yang juga kontraktor, Mohd Shamsul Mat Amin, 28, akan bertanding di DUN Bukit Besi.

Bagi DUN Permaisuri, Wan Mokhtar Wan Ibrahim dipilih.

Untuk DUN Telemung pula diwakili Narawi Embung.

Keempat-empat ini diumumkan Wan Azizah di Kuala Terengganu petang semalam.

Sementara itu, untuk DUN Seberang Takir dan Kota Putera, masing-masing diwakili Mohd Nazri Abdullah dan Drs Mohd Abdul Ghani Ibrahim.

Kedua-dua calon ini disahkan Azan kepada Keadilan Daily.

Mengulas pengumuman itu, Azan ketika dihubungi menyifatkan pertukaran kerusi dan penampilan muka baru antara strategi Pakatan Rakyat untuk menawan Terengganu dalam pilihan raya kali ini.

“Saya menyokong penuh pengumuman itu, tiada sebab untuk kecewa atau merajuk. Semua ini untuk kebaikan parti.

“Saya pasti kita akan menang di semua kerusi yang akan ditandingi KEADILAN berdasarkan momentum rakyat yang mahukan perubahan,” kata Azan.

Tambahnya, gerak kerja semua DUN kini berjalan lancar dan hanya menunggu hari pengundian.

“Kita bukan lagi gerak kerja, tapi gerak kilat. Setakat ini kita hanya menunggu hari penamaan calon dan sebelum itu kita akan adakan perjumpaan.

“Selesai penamaan, kita terus berkempen tanpa henti,” katanya.

Dalam program berasingan di Pahang malam tadi, Wan Azizah turut mengesahkan DUN Teruntum (N14) milik KEADILAN. – NS

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=50600

Posted by on Apr 17 2013. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google