Kehakiman berintegriti bawah PH jamin keadilan buat Adib

Keputusan Mahkamah Koroner yang mendapati kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim berpunca daripada perbuatan jenayah adalah penzahiran kepada integriti dan ketelusan sistem kehakiman di bawah Pakatan Harapan.

Ketua Srikandi KEADILAN, Nurainie Haziqah Shafii percaya keputusan itu dapat dibuat mahkamah kerana pengasingan kuasa di antara badan eksekutif dan kehakiman yang dijunjung kerajaan sekarang.

“Alhamdulillah, kita di bawah Pakatan Harapan ini sistem kehakiman dapat dilaksanakan secara terbuka dan berintegriti. Saya percaya itu.

“Itu yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan iaitu pengasingan kuasa dapat dilaksanakan sebaiknya,” kata Nurainie yang juga seorang peguam kepada Suara Keadilan.

Beliau memberi pandangan itu sewaktu membandingkan keputusan inkues kematian Muhammad Adib dengan keputusan inkues kematian mendiang Teoh Beng Hock pada 2009.

Mahkamah Koroner Shah Alam pada 27 September lalu memutuskan kematian Adib di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember 2018, berpunca daripada perbuatan jenayah dalam rusuhan berhampiran Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, sebulan sebelum itu.

Koroner Rofiah Mohamad sewaktu menyampaikan keputusan berkata Muhammad Adib mati selepas dipukul dan diheret keluar dari van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba.

Sementara, Peguam Negara pada era BN memutuskan tiada unsur jenayah dalam kematian Beng Hock dan Mahkamah Koroner memberikan keputusan terbuka dalam inkuesnya.

Beng Hock ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terletak di tingkat 14, bangunan sama.

Mengulas perkara sama, Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Razlan Jalal yakin keputusan berkenaan dicapai selepas proses inkues yang wajar.

“Dalam kes Adib, pakar-pakar dipanggil untuk memberi pandangan dan dapatan mereka berdasarkan hasil analisis dan kajian,” kata Razlan yang pernah mewakili Presiden KEADILAN, Anwar Ibrahim dalam perbicaraan Fitnah II.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=74091

Posted by on Oct 2 2019. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE