Keluarga ramai anak dapat kelonggaran pasang CRS

Keluarga yang mempunyai ramai anak akan mendapat kelonggaran dalam pelaksanaan peraturan yang mewajibkan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS), kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Kamarudin Jaffar.

Menurutnya, Putrajaya sedia maklum bahawa pemasangan kerusi itu membabitkan kos yang tinggi.

“Berkaitan isu anak ramai dan tempat duduk yang mungkin tidak boleh memuatkan empat hingga lima kerusi keselamatan kanak-kanak, khususnya untuk keluarga yang besar, saya boleh katakan bahawa mereka diberikan pengecualian sekiranya di dalam sebuah kenderaan tersebut tidak membolehkan CRS dipasang.

“Jadi kelonggaran diberikan dalam pelaksanaan ini,” katanya ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat pada 28 November sewaktu menjawab soalan Cha Kee Chin (PH- Rasah).

Cha dalam soalan tambahannya mahu tahu tentang pendirian kerajaan berkenaan peraturan tersebut terhadap keluarga yang memiliki ramai anak.

Dengan mengambil contoh dirinya sebagai seorang bapa yang mempunyai anak ramai, walaupun bergelar wakil rakyat Cha berkata beliau tidak mampu untuk memiliki kereta mewah.

“Saya menghadapi masalah ini. Saya kena akui saya memohon satu pendekatan, kalau boleh anak-anak yang ketinggi 120cm hingga 135cm diberi kelonggaran.

“Saya setuju bawa 120 cm ke bawah (diwajibkan), bayangkan kalau keluarga itu ada empat anak bawah kategori itu, kereta apa mereka hendak guna?

“Takkan keluarga semua hendak guna Toyota Alphard, saya sebagai wakil rakyat tiada Alphard, kalau kereta biasa empat orang anak penuh,” katanya.

Menurut Kamarudin, kerajaan mengecualikan duti import bagi kerusi tersebut dan ia hanya dikenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sekitar lima peratus saja.

“Kerajaan serius untuk menjadikannya sebagai satu kewajiban memandangkan 14 ke 15 peratus kanak-kanak meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya,” katanya.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=74365

Posted by on Nov 28 2019. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE