Saiz Teks: A A A

Keluarga tuntut kerajaan bersihkan nama Mat Indera

(Oleh: Sidiqin Omar)

Bahrom (tengah) memegang buku 'Pengukir Nama Johor' bersama Suhaizan Kayat (kanan) dan Setiausaha Pemuda Pas Pusat, Khairul Faizi

KUALA LUMPUR: Adik Muhammad Indera, Baharom Shah Indera menuntut kerajaan supaya membersihkan nama abangnya yang dituduh sebagai pengganas komunis.

Beliau mewakili keluarganya turut menuntut sejarah dikaji semula bagi memperbetulkan persepsi terhadap perjuangan abangnya sebelum kemerdekaan.

“Abang saya adalah pejuang kemerdekaan. Saya mengalu-alukan mana-mana pihak untuk membersihkan nama abang saya,” kata Baharum pada sidang media di ibu pejabat Pas, Kuala Lumpur hari ini.

Akhbar milik Umno, Utusan Malaysia pada 27 Ogos lalu menyiarkan kenyataan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang menganggap Mat Indera yang terlibat dalam serangan di rumah pasung Bukit Kepong pada 1950, adalah hero sebenar yang menentang penjajah British.

Kenyataan tersebut kemudian diputarbelitkan pimpinan Umno dan media arus perdana yang menuduh Mat Sabu dan pimpinan Pakatan Rakyat menyokong perjuangan komunis.

Mat Sabu lantas  menegaskan perjuangan Mat Indera turut diiktiraf oleh kerajaan Johor melalui buku Pengukir Nama Johor yang diterbitkan pada 1994 dan turut disertakan dengan prakata Menteri Besar Johor.

Selain Baharom, turut hadir dalam sidang media berkenaan ialah Ketua Pemuda Pas Johor, Suhaizan Kayat dan Setiausaha Pemuda Pas Pusat, Khairul Faizi Ahmad Kamil.

Mengulas lanjut, Baharom berkata  Mat Indera adalah individu yang komited terhadap agama dan tegas pendiriannya membebaskan negara dari penjajahan.

“Abang saya komited mengajar agama sama ada di dalam hutan atau di luar hutan. Beliau selalu menafikan bahawa beliau bukan seorang yang berfahaman komunis. Beliau berjuang untuk kemerdekaan negara dari penjajahan British,” jelasnya.

Beliau turut kesal dengan tohmahan berterusan yang dilemparkan terhadap abangnya, sambil menyifatkan ia sebagai satu propaganda Brtitish.

“Kenapa nak ikut lagi penjajah British? Kalau British tuduh Mat Indera pengkhianat, apakah anak negeri yang sudah merdeka ini mahu ikut apa yang British cakap? Kenapa tak berani ubah?

“Buat siasatan dan kaji segera. Ini bukan soal parti Umno atau Pas. Ini soal pejuang kepada negara,” tegas Bahrom yang juga merupakan pesara tentera dari Kor Perkhidmatan.

Sementara itu, Suhaizan pula berkata, Mat Indera adalah seorang yang ‘tegar’ sikap anti-penjajah British sehingga dipenjarakan oleh penjajah.

“Sampaikan ketika ditahan dalam lokap, pegawai British yang lalu dekat dengannya pun diludah,” kata Suhaizan.

 

 

 

 

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=19891

Posted by on Sep 7 2011. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry