Kemajuan Najib atau kemajuan rakyat?

(Oleh Syed Ibrahim Syed Noh)

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kelihatannya sedang giat mempropagandakan kejayaan dan kemajuan di bawah pentadbiran beliau sambil mengingatkan rakyat supaya tidak tertipu dengan dakyah pembangkang. Beliau sedang cuba menangkis dakwaan bahawa negara bukan negara gagal atau ‘failed state’.

Menurut laporan Bernama 19 Mac 2017, Datuk Seri Najib berkata Malaysia telah mencatatkan banyak kemajuan membanggakan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini sehingga mendapat laporan positif di media tempatan dan antarabangsa.

Antaranya ialah Malaysia antara 10 ekonomi paling pesat berkembang di dunia yang dilaporkan oleh The Economist manakala PricewaterhouseCoopers (PwC) pula melaporkan Malaysia dijangka peroleh Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ke-25 terbesar dunia menjelang 2030. International Living Magazine pula melaporkan Khidmat Kesihatan Malaysia ke-3 Terbaik Dunia dan U.S News & World Report turut melaporkan tajuk Malaysia negara terbaik untuk pelaburan 2017.

Pendek kata, Malaysia seolah-olah berada di puncak sedangkan ini baru suku pertama tahun ini (sebenarnya belum cukup tiga bulan suku pertama lagi).

Syed_Ibrahim_MafrelLangkah Datuk Seri Najib ini tidak mengejutkan malah boleh diramalkan. Ini langkah terdesak dan terpaksa dilakukan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14. Cerita yang baik-baik. Cari apa-apa laporan yang positif pasal Malaysia walaupun sedikit dan walaupun belum berlaku. Malah sepatutnya dilaporkan juga kejayaan negara memeterai kontrak berbilion ringgit dengan syarikat China dan kejayaan membanteras rasuah yang terus meningkat setiap hari. Cumanya, jangan diungkit tentang 1MDB atau wang yang masuk ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib. Dalam Parlimen pun tidak boleh disentuh. Ini boleh menjejaskan masa hadapan negara. Power!

Walau bagaimanapun, saya setuju dengan beliau supaya semak dan teliti setiap berita yang disebarkan oleh pembangkang. Sila semak dan teliti semua laporan oleh pembangkang terutamanya pembongkaran oleh Rafizi Ramli, laporan kejayaan Selangor dan Pulau Pinang, blog, kenyataan serta risalah-risalah dan artikel oleh pimpinannya. Ini namanya tabayyun. Ini memang dituntut agama. Untuk lebih adil, berita yang disebarkan oleh parti pemerintah pun wajib disemak dan diteliti. Jangan terpedaya dengan media kawalan Umno BN seperti TV3 dan Utusan serta ucapan-ucapan pemimpin Umno BN.

Saya juga bersetuju dengan beliau bahawa masa hadapan negara terjejas jika rakyat tertipu dan membuat keputusan yang silap dalam PRU nanti. Tetapi hakikatnya, negara sudah terjejas dan rakyat sudah tertipu sejak beberapa PRU lepas.

Negara terjejas akibat krisis kepimpinan kleptokrasi di bawah Datuk Seri Najib dan Umno BN. Hasil mahsul negara tidak dijana dengan optimum untuk rakyat dan negara malah dirompak melalui cukai GST, pelaburan dan hutang dalam 1MDB yang masuk ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib dan kuncu-kuncunya. Akibatnya perbelanjaan untuk keperluan utama rakyat dipotong seperti pendidikan tinggi IPT, kesihatan, pengangkutan dan lain-lain. Rakyat tertipu dengan janji 1Malaysia dan Transformasi yang penuh ilusi.

Sedarkah PM bahawa The Economist juga mengeluarkan pandangan berkait dengan skandal 1MDB pada November 2016? Menurut pandangan tersebut, skandal begitu jika berlaku di negara lain sudah pasti mencetuskan pertukaran segera kerajaan parti pemerintah. Apakah ini dakyah pembangkang? Mungkin jika laporan ini dikeluarkan, The Economist akan dilabel sebagai media asing yang cuba memburuk-burukkan negara.

Sementara saya dan sudah tentu Pakatan Harapan yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat, DAP, Parti Amanah Negara dan kini Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mahupun parti pembangkang yang lain inginkan masa hadapan Malaysia yang lebih baik, namun ia tidak boleh disandarkan semata-mata kepada laporan yang dinyatakan Datuk Seri Najib. Rakyat juga tidak boleh mudah menerima janji-janji muka manis Datuk Seri Najib dan Umno BN.

Persoalannya, apakah laporan tersebut menggambarkan kenyataan sebenar yang dihadapi negara dan ditanggung oleh rakyat? Bukankah negara sedang menghadapi ekonomi yang meruncing? Bukankah ‘kemajuan membanggakan’ bermakna kemajuan ekonomi buat rakyat, bukan semata-mata berdasarkan kedudukan atau ‘ranking’?

Apakah dengan penurunan nilai mata wang ringgit berbanding dollar Amerika mengukuhkan saingan ekonomi domestik? Kenaikan harga gula baru-baru ini berpunca daripada kejatuhan nilai ringgit. Apakah pengurusan negara melalui peningkatan hutang negara dua kali ganda boleh meningkatkan taraf ekonomi rakyat? Bagaimana dengan hutang isi rumah yang meningkat mendadak, kesenjangan pendapatan yang makin melebar, peningkatan kos sara hidup, kadar inflasi yang tinggi, harga barangan yang naik, kadar pengangguran yang meningkat dan kadar kenaikan gaji yang perlahan?

Juga lebih penting, apakah penyelewengan melalui skandal 1MDB, pengurusan hartanah MARA, dana awam Tabung Haji, KWSP, KWAP dan Felda, boleh memacu Malaysia menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi yang ekonominya berkembang pesat?

Ketirisan dan pemborosan seperti yang sentiasa dilaporkan oleh Ketua Audit Negara melibatkan jumlah yang besar, beratus juta ringgit. Rasuah juga melibatkan berbilion ringgit. Bayangkan jika ia boleh digunakan untuk pembinaan universiti, hospital, sekolah, jalan-jalan desa, jambatan-jambatan dan perumahan yang selesa. Cukai GST boleh disifarkan! Malah tidak mustahil jalan bertol boleh dihapuskan dan pendidikan percuma dapat diberikan! Masalah hutang dan perumahan generasi ke-2 Felda dapat diselesaikan!

Dalam Konvensyen Warga Felda baru-baru ini, resolusi 5 Pelan Pemulihan Felda oleh Pakatan Harapan menandakan iltizam serius Pakatan Harapan dalam menangani isu Felda dan isu-isu negara, bukan sekadar retorik dan kosmetik.

Hakikatnya, apa yang didakwa Datuk Seri Najib hanyalah indah khabar dari rupa. Kebanyakkannya analisis masa hadapan yang penuh spekulasi dan terlalu jauh. Jika pun Malaysia tersenarai sebagai antara 10 ekonomi paling pesat dunia dan termasuk dalam 25 negara dengan KDNK terbesar pada 2030, saya membayangkan ia bakal berlaku kerana Malaysia sudah berubah teraju pemerintahan dan bukan lagi di bawah Umno BN! Ia di bawah kerajaan baharu Pakatan Harapan!

* Syed Ibrahim merupakan Ketua Penerangan KEADILAN

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=69827

Posted by on Mar 21 2017. Filed under RENCANA. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE