Kemakmuran Bersama, rancangan ekonomi baharu Pakatan Harapan 

Kerajaan Pakatan Harapan mengumumkan gagasan ekonomi baharu dikenali sebagai Kemakmuran Bersama, yang menumpukan kepada pembahagian pembangunan dan kekayaan negara untuk dinikmati secara adil antara semua rakyat. 

Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad berkata, menerusi kerangka itu, pembangunan tidak akan hanya dinilai melalui angka-angka Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

“Dalam definisi yang ringkas, Kemakmuran Bersama adalah usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang terus menerus membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil dan inklusif di setiap peringkat rantaian nilai, kelas, kaum dan geografi sehingga mewujudkan rasa keharmonian dan kestabilan di kalangan rakyat menjelang tahun 2030,” katanya dalam Perutusan Perdana Setahun Malaysia Baharu, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya semalam.

Beliau menggariskan tujuh teras strategik utama bagi memastikan matlamat Kemakmuran Bersama dapat dicapai. 

Antaranya, penstrukturan dan penambahbaikan ekosistem perniagaan dan industri negara, sektor pertumbuhan baharu, reformasi bakat dan sumber tenaga negara, memperbaiki pasaran buruh dan pendapatan pekerja, memperkukuhkan kesejahteraan sosial, pembangunan wilayah yang inklusif serta peningkatan modal sosial masyarakat. 

“Selain tujuh teras strategik,  kita juga telah mengenalpasti pemangkin lain bagi memastikan matlamat teras ini dapat dicapai,” katanya. 

Anggota Parlimen Langkawi itu berkata, sepanjang dekad lalu ekonomi negara telah berubah secara radikal dan ini telah menyebabkan hasrat menjadi negara maju seperti disandarkan di dalam Wawasan 2020 tidak dicapai.   

Katanya, model ekonomi dekad lalu antaranya hanya menumpukan kepada penambahan hutang negara untuk projek mega, pemilikan ekuiti negara lebih banyak bertukar kepada pemilikan asing, selain pertumbuhan ekonomi yang hanya terfokus kepada beberapa bandaraya utama negara sehingga mengenepikan pertumbuhan dan peluang kepada rakyat tempatan.

“Ini menjadi lebih parah apabila nilai integriti menjunam dan rasuah melambung tinggi kerana ramai mencontohi kepimpinan utama negara yang lalu. Akibatnya, penyampaian kerajaan kepada rakyat tidak efektif dan juga tidak ikhlas serta berlaku ketirisan dan penyalahgunaan yang berleluasa.

“Kepimpinan terdahulu pula tanpa malu dan secara berleluasa menggunakan jenama ‘Bumiputera’ untuk kepentingan peribadi dan kemewahan diri,” katanya.

Gagasan Kemakmuran Bersama dibentangkan Dr Mahathir pada ulang tahun pertama Harapan mentadbir negra selepas menumbangkan rejim Umno-BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=73445

Posted by on May 10 2019. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE