Kematian 3 sekeluarga: Ayuh 1 juta rakyat bantah projek Rapid Pengerang di HKR 12 Jan

Hidup susah itu adalah lumrah, namun apabila segelintir rakyat susah ini dihimpit ke dinding tanpa kompromi sewajarnya maka jalan yang diambil bukan kepalang kesannya kepada masyarakat.

Itulah yang berlaku di Pengerang semalam, tiga sekeluarga ditemui mati kerana tidak mampu bertahan dengan tekanan hidup apabila dihalau dari tanah yang dimastautin sejak sekian lama.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mendesak rakyat seluruh negara agar tidak memandang remeh peristiwa hitam yang berlaku di Pengerang ketika satu demi satu tanah dirampas demi melampiaskan nafsu konglomerat membawa pembangunan yang tidak seiring keperluan setempat.

Peristiwa kematian tiga sekeluarga ini merupakan simbol penting kebangkitan rakyat dan api kemarahan rakyat ini harus diterjemahkan pada 12 Januari 2013 yang dikenang sebagai hari kemarahan rakyat secara aman.

SAMM juga menyarankan supaya rakyat seluruh tanahair mulai saat ini berhenti mengeluh dan terus bangkit melawan kezaliman rejim penguasa.

Walaupun ditekan, walaupun dihimpit dan dipijak, rakyat diseru untuk tidak mengambil jalan akhir mencabut nyawa tetapi terus bangun dari keresahan lantas bertekad untuk membunuh keegoan dan kekuasaan regim pemerintah. Inilah peluangnya, inilah saat penting seluruh kekuatan rakyat disatukan pada 12 Januari 2013 yang ditakrif Hari Kebangkitan Rakyat.

SAMM seluruh negara ketika ini dengan kerjasama kelompok muda penggerak massa, sedang dalam peringkat akhir hasutan yang menjengah ke seluruh negara.

Setakat hari ini, lima dari dua belas venue telah berlangsung pesta menghasut rakyat turun ke jalanraya bagi tujuan memberi amaran keras buat regim pemerintah betapa 1 juta rakyat berani akan hadir ke Kuala Lumpur di samping menuntut saki baki demokrasi yang membolehkan regim syaitan ditumbangkan.

Kemuncaknya ialah sepanjang petang dan malam 11 Januari di Kelab Sultan Sulaiman, Kg Baru, dijangka lebih 50ribu rakyat yang hadir terawal akan bersama mengira detik masuknya tanggal 12 Januari 2013.

Janganlah kita jadikan kematian Keluarga Pang suatu kematian yang sia-sia! Kematian keluarga Pang adalah merupakan simbol rakyat bangkit melawan lantas mengusir Barisan Nasional dari tahta penguasa. Ayuh 1 juta rakyat berani turun 12 Januari 2013. Demi Rakyat, Demi Negara!

Badrul Hisham Shahrin/Che’Gubard
Ketua Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=42238

Posted by on Jan 2 2013. Filed under KENYATAAN MEDIA. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google